Adakah Bonai sebenarnya terikat dengan FAS? Ini jawapannya

Hari ini, peminat bolasepak Sarawak dikejutkan dengan berita bahawa penghijrahan Rodney Celvin (juga dikenali sebagai Bonai) ke PKNS FC adalah tidak sah, dan dianggap tidak profesional oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), dengan pihak Bonai menafikan bahawa beliau telah terikat dengan FAS.

Menurut Bonai, beliau hanya menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAS, dan ianya tidak boleh digunapakai kerana tempoh sebulan telah berakhir dan beliau belum ditawarkan kontrak oleh FAS.

Dalam pada itu, pihak kami telah merujuk kepada orang yang tahu berkenaan tawaran kontrak dan juga isu Gabor Gyepes.

Kes Gabor dirujuk kerana ianya mempunyai persamaan dengan kes Bonai.

Dalam kes Gabor, beliau telah menandatangani surat penerimaan tawaran dari FAS pada akhir 2014, sekaligus menjanjikan beliau tempat pada pasukan 2015.

Namun beliau telah digugurkan pada saat akhir tanpa pampasan berikutan kecederaan ibu jari kaki.  Gabor yang ternyata tidak berpuas hati mengadu kepada kami berkenaan isu tersebut, dan beliau telah juga membawa isu tersebut ke FIFA yang mana menyaksikan Gabor memenangi kes tersebut dan FAS diminta membayar wang pampasan kepada Gabor.

menurut pengetahuan kami, keputusan kes Gabor diadili pada tahun 2016, dan FAS telah membuat bayaran pampasan mengikut kehendak FIFA pada 2017.

FIFA dikatakan membuat keputusan pada dasar bahawa ‘surat tawaran dan penerimaan’ yang ditandatangani Gabor boleh dianggap sebagai satu kontrak sah, walaupun Gabor belum menandatangani satu kontrak baharu untuk musim 2015.

PERSAMAAN KES GABOR DAN KES BONAI

Menurut sumber kami, kes Gabor dan Bonai ada persamaan dimana kedua-dua pihak telah menandatangani sebuah dokumen yang mana merupakan ‘surat penerimaan tawaran’.

Ini bermakna, kedua-dua pihak telah secara bertulis bersetuju menyertai pasukan Sarawak FA pada musim baharu, dan kontrak akan disediakan selepas surat penerimaan ditandatangani.

Kedua-dua Bonai dan Gabor walaubagaimanapun belum menandatangani kontrak baharu bersama FAS.

MENGAPA KES GABOR PENTING DALAM KES BONAI?

Menurut sumber kami, FIFA hanya akan mengiktiraf surat tawaran tersebut sebagai satu kontrak yang sah jika surat tawaran tersebut memilik terma dan syarat seperti jumlah gaji yang dipersetujui, tempoh perkhidmatan, dan sebagainya.

Jika surat tawaran tersebut tidak memiliki sebarang terma dan syarat utama, ianya tidak dapat mengikat mana-mana pihak, dan pihak tersebut bebas untuk bergerak ke pasukan lain.

Dalam pada itu, Gabor berjaya memenangi kes pengguguran beliau dari FAS kerana surat tawaran yang diberikan FAS kepada beliau mempunyai terma dan syarat, sekaligus menjadikan ianya surat penerimaan tawaran beliau sebagai satu dokumen serupa kontrak sah.  Ini menyebabkan Gabor mempunyai cukup bukti untuk membawa dokumen tersebut ke FIFA, dan sekaligus memenangi kes beliau.

ADAKAH BONAI TERIKAT DENGAN FAS?

Untuk kes Bonai, kami tidak mengetahui kandungan MoU ataupun surat penerimaan tawaran yang disebut oleh FAS dan Bonai.

Dalam pada itu, secara umumnya, jika MoU atau surat tawaran tersebut tidak memiliki terma dan syarat kritikal seperti jumlah bayaran gaji, tempoh perkhidmatan, dan lain-lain terma penting, ianya dikatakan tidak boleh mengikat mana-mana pihak, kerana ianya bukalah kontrak sah di pandangan FIFA.

Namun, jika surat atau MoU tersebut memiliki semua terma dan syarat penting yang disebutkan, dan Bonai tetap berhijrah ke PKNS FC, maka beliau, dari pandangan FIFA, Bonai telah melanggar satu kontrak dan boleh dijatuhkan hukuman.

Diharapkan maklumat yang kami baru perolehi ini memberi sedikit gambaran berkenaan hak dan isu berhubung kontrak pemain.

 

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top