SOLD OUT YO!

Demam bola sepak kembali melanda Bumi Kenyalang!

Keterujaan peminat tempatan menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia antara Kuching City FC dan gergasi Lembah Klang, Selangor FC, terbukti apabila jualan tiket perlawanan tersebut mencatatkan sambutan luar biasa.

Hanya beberapa jam selepas kaunter fizikal dan platform dalam talian dibuka, ribuan peminat dilaporkan berebut-rebut untuk menempah tempat duduk mereka di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Berdasarkan perkongsian rasmi pengurusan kelab, sambutan yang diterima jauh melepasi jangkaan awal.

Adalah difahamkan lebih 14,000 keping tiket telah disapu bersih dalam tempoh kurang 48 jam pertama jualan dibuka.

Sumber tidak rasmi menyatakan laman web jualan tiket dilaporkan mengalami kesesakan trafik yang tinggi dengan ramai menjangkakan baki tiket akan habis terjual sepenuhnya menjelang hari perlawanan, sekaligus menjanjikan suasana ‘lautan penonton’ di stadium.

Malah, pihak Kuching City juga mengesahkan semua zon berbumbung telah habis dijual.

Lonjakan jualan tiket yang mendadak ini pantas mencetuskan nostalgia dalam kalangan peminat veteran.

Situasi luar biasa ini secara tidak langsung dibandingkan dengan era kegemilangan bola sepak Sarawak pada masa lalu yakni pada lewat 80-an dan awal 90-an di bawah bimbingan Awang Mahyan Awang Mohamad, dimana Stadium Negeri sering menjadi ‘neraka’ buat pasukan pelawat dengan kehadiran penonton yang mencecah kapasiti penuh.

Gelombang kedua dan terakhir di Stadium Negeri pula menyaksikan gelombang lautan manusia berskala sebesar ini adalah sekitar tahun 2013, sewaktu pasukan Sarawak FA (di bawah kendalian Robert Alberts) muncul juara Liga Premier tanpa sebarang kekalahan.

Kini, selepas lebih sedekad, Kuching City FC kini dilihat berjaya mengambil alih obor tersebut dan menyatukan kembali sokongan padu rakyat Sarawak di bawah satu bumbung.

Kitak udah beli tiket sik?

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top