Kini di twitter @sarawakcrocs sedang trending dengan #bubarsarawakfa dan ramai penyokong yang sependapat dengan pandangan ini. Namun saya melihat perkara ini dari sudut yang lebih luas. Kita perlukan DNA dan struktur liga yang baru.

Saya menyokong penubuhan kelab komuniti atau kelab daerah di seluruh Sarawak. Di Sarawak kita ada 12 bahagian dan ini sudah cukup untuk membentuk satu liga yang kompetitif dan mencungkil bakat-bakat tempatan. Perlu diingat Liga Super dan Perdana juga mempunyai 12 pasukan yang bertanding.

Namun begitu pasukan utama Sarawak harus dikekalkan. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah penjenamaan semula atau penswastaan pasukan. Pemain-pemain terbaik dari liga daerah akan diserapkan ke pasukan utama dan ini akan menjadi impian setiap pemain yang beraksi.

Jika kita tidak mempunyai pasukan utama, pemain-pemain ini tidak dapat meneruskan karier mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ini yang dilakukan di Selangor, Perak, Kedah dan JDT. Skuad terbaik daerah dikumpulkan dan mereka akan menyertai sama ada pasukan Piala Presiden atau Piala Belia sementara menunggu untuk diserapkan ke pasukan utama.

Ketika diserapkan ke pasukan utama, mereka sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak profesional. Dan mereka ini sudah dikenali di pelosok negeri Sarawak sekaligus menarik minat peminat tempatan turun ke stadium.

Satu perkara yang menjadi harapan saya tertakluk kepada kebenaran dari MFL, pasukan Sarawak akan menjadi pasukan pertama yang mempunyai gelanggang yang tidak tetap.

11 perlawanan di tempat sendiri akan dilangsungkan di stadium-stadium daerah dan bukan hanya di Kuching.

Selain dari pendedahan kepada seluruh penyokong Sarawak, ia juga menjadi produk wisata kepada penyokong pasukan lawan. Bayangkan penyokong Kelantan akan berkunjung ke Bintulu, Sibu atau Miri untuk menyaksikan perlawanan. Ia sekaligus membantu ekonomi pasukan dan penduduk tempatan.

Ini mungkin impian saya sebagai penyokong. Perkara-perkara ini sepatutnya ada di kotak fikiran exco-exco FAS yang dilantik. Dengarlah kata penyokong kerana kami lebih nampak dan tahu apa yang penyokong inginkan. Kami tidak mahu politik tapi kami mahu bola sepak yang menarik.

Kami juga sedar Sarawak tidak setanding JDT, tetapi sekurang-kurangnya kita kena ada impian yang besar sebesar negeri kita ini. RM4 juta dari kerajaan negeri kita harus kembangkan kepada RM40 juta dan bukan mengharap dana itu sahaja. Belajar dan terus belajar memahami DNA bola sepak profesional.

Ngap Sayot
Mac Shermon, Sibu

Comments
LATEST PROMOTIONSARAWAKCROCS FANTASY PREMIER LEAGUE