TEMPA NAMA KE PERLAWANAN AKHIR PIALA FA

Dua minggu lalu, Miri United FC menewaskan Real Chukai FC dalam peringkat separuh akhir Piala FA di Kemaman. Aku masih ingat awaydays sejauh 2 jam penerbangan ke KLIA dari Miri, kemudian kami 80 orang penyokong Miri United ambil pula bas untuk ke Kemaman.

Ada juga yang menaiki kereta, mereka adalah orang-orang Miri dan daerah sekitar yang turut mengikuti Miri United FC tetapi sudah lama menetap di Semenanjung Malaysia, kebanyakkannya di Kuala Lumpur. Bas kami menunggu mereka di Petronas RnR Bentong.

5 jam kemudian, kami sampai ke Kemaman, stadium baru siap 2 tahun lepas, berkapasiti 6 ribu tempat duduk. Sempatlah kami beli kepok leko & satar untuk alas perut di luar stadium Real Chukai FC ini.

Wilfred Nangga menjadi hero Miri United dalam perlawanan separuh akhir ini, bola hantaran dari Faizal Halimi disudahkan dalam perlawanan timbal balik yang begitu sengit. Perlawanan pertama di Stadium Miri berakhir dengan keputusan 0-0, namun itulah takdir Tuhan, Wilfred Berjaya menewaskan Juzaili Ahmad, penjaga gol Real Chukai.

Perlu diingat, Real Chukai juga sedang mendahului Liga Super dengan 2 mata untuk slot automatik ke Liga Juara-juara Asia. Masih ada beberapa pasukan yang sedang mengejar seperti Shah Alam Antlers, Johor Bharu FC serta PJ Rangers.

Miri United pula masih berpeluang untuk mendapatkan slot untuk ke playoff Liga Juara-juara Asia melalui Piala FA, dengan Shah Alam Antlers sedang menunggu di perlawanan akhir yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SEJARAH LAMA BOLASEPAK MALAYSIA: BYE-BYE SARAWAK FA

Sarawak FA membubarkan pasukan mereka dalam Liga Super pada tahun 2020, pada ketika itu masih ramai lagi yang bingung dengan keadaan bolasepak negara. Setelah 6 tahun berturut-turut kelab JDT menggungguli Liga Super, bolasepak negara kian tenat.
Ramai yang berminat untuk merevolusikan keadaan bolasepak di negeri masing-masing. Sekitar penghujung 2018, aku yang berada di Sarawak mengikut rapat dengan keadaan Perlis FA yang hangat dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri Perlis, ada cakap-cakap ADUN Barisan Negara (BN) mahu membubarkan Persatuan Bolasepak Perlis yang hutangnya kian meruncing.

Keadaan bolasepak di Selangor sudah berubah, berpuluh puluh pasukan berasaskan komuniti diasaskan hasil inisiatif Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon yang mewujudkan Selangor Champions League sejak 2016. Manakala kejayaan Klang Valley League serta beberapa liga β€˜haram’ dinaiktaraf ke Liga M5 (Divisyen 5) dianggap kejayaan amat besar pada awal 2018.

Pada tahun 2020, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan untuk semua Persatuan Bolasepak Negeri wajib membubarkan semua pasukan berasaskan negeri. Tumbuhlah pasukan pasukan berasaskan daerah menggantikan pasukan negeri yang bermain di Liga Super.

JDT hanya menukarkan namanya kepada Johor Bharu FC. Di Selangor, Shah Alam Antlers FC diangkat untuk menggantikan slot yang ditinggalkan Selangor FA. Di Kedah, suasana lebih panas sehinggakan untuk menggantikan Kedah FA, perlawanan penentuan antara Sungai Petani Hammers FC dan AS Star FC harus dibuat.

Kelab kelab ini semuanya diasaskan dengan secepat mungkin, manakala pemain-pemain yang bermain dalam bolasepak negeri sanggup menerima potongan gaji yang rata-rata hampir 50% dalam usaha menyelamatkan karier masing-masing.

Itulah sejarah bolasepak Malaysia yang sangat berbeza sejak revolusi FAM dilakukan pada tahun 2020.

4 JULAI 2025: DARI MIRI KE KUALA LUMPUR

Perjalanan AirAsia dan MAS sejak semalam dari Miri ke Kuala Lumpur telah penuh. 180 orang setiap penerbangan, hampir semuanya bertujuan untuk menonton perlawanan akhir antara Miri United FC menentang Shah Alam Antlers FC.

Ada yang dari Bintulu turut sama terbang walaupun perseteruan antara Bintulu dan Miri sering kali hangat. Tiga pasukan dibawah Sarawak FA yang bermain di Liga Super iaitu Miri United FC, Bintulu FC, serta Kuching Crocs FC. Sibu City telah tersingkir ke Liga Perdana pada tahun lalu.

Aku mengambil pesawat jam 12.40 tengah hari ini beberapa lagi kawan, Hidayat, Bryan, Freddy dan Badak. Mafla Miri United berwarna biru muda diikat di backpack kami semua, warna yang sama seperti dengan Manchester City, juara Liga Juara-juara Eropah musim 2024/25.

Pada 2020, Abang Hamid sebagai orang yang bertanggungjawab mengasaskan kelab bolasepak Miri United ini bersama dua ribu orang yang lain. Mereka hadir dalam persidangan kelab bolasepak yang berlangsung di Dewan Suarah Miri memilih warna biru muda sebagai warna utama kelab.

Kami sampai di klia2 pada jam 3 petang. Ambil teksi dan terus bermalam di hotel bajet di sekitar Bandar Kinrara. Tiket yang dibeli secara atas talian telah ditempah seminggu lalu. Berbeza seperti bertahun tahun sudah, tiket kini bernombor dan harga tiket berbeza mengikut zon.

Malam tersebut juga kami merasa kecut perut, makan juga sedikit di kedai tomyam dekat Bandar Kinrara, ramai kenalan kami turut hadir, malah Capo Miri Ultras Divas juga ada disini, turut sama sama mengedarkan arahan untuk menyajikan perang panji dan tifo yang menari esok.

Rahmad, capo MUD telah hadir seawal Rabu untuk bersama sama komrad di sini bagi mencipta tifo yang segar bagi pandangan penonton baru. Shah Alam Antlers melalui White Blue Alliance dengan ketumbukan jumlah komrad seramai lima ribu orang pasti akan lebih meriah.

Aku pulang ke hotel sekitar jam 11 malam. Bryan dan Freddy masih bersama-sama dengan 20 orang lagi komrad MUD yang masih berbual bual mengenai perlawanan akhir Piala FA pertama dalam sejarah Miri United.

5 JULAI 2025: INI-LAH BOLASEPAK, INI-LAH MIRI!

Selesai sarapan pagi roti canai, antara benda yang jarang kami dapat di Miri. Kalau ada kedai India pun, hanya di Lutong, siap ada mee goreng mamak, tapi di Lembah Klang, merata-rata ada kedai mamak bertaburan.

Di Miri, memang pagi pagi aku akan melantak nasi lemak dekat Selera Rasa Segar, nasi lemak dia memang berbaris. Di KL ni, melantak saja apa yang ada. Badak dah empat keping roti canai dah dia makan.

Kami ambil LRT ke KL dulu, perlawanan lambat lagi, jam 9 malam, takkan nak kumpul di stadium pukul 12 tengah hari, masih awal. Hidayat dah ready duit awal awal, banyak betul barang dia sempat beli dekat Bukit Bintang City Centre (kepada yang hidup pada tahun 2018, pada tahun 2025, akan ada satu mall yang dinamakan Bukit Bintang City Centre di KL).

Jam 3 petang, kami pulang ke hotel, bersiap siap. Hidayat sibuk packing barang padahal nak balik esok petang. Aku sudah bersedia dengan jersi Miri United lapan bulan yang lepas. Majlis pelancaran jersi yang diadakan di Permaisuri City Mall tu dihadiri lebih kurang dua ribu orang. Sold out pada hari yang sama!

Sampai di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 6 petang, perkarangan stadium sudah dibanjiri lebih kurang 70 ribu orang penyokong dari kedua-dua pasukan. Ada yang telah masuk ke dalam stadium, manakala ramai lagi yang masih berlegar-legar dan melakukan aktiviti bersama penaja-penaja pertandingan dan sebagainya.

Aku, Freddy, Bryan, Badak dan Hidayat akhirnya mengambil keputusan untuk masuk ke dalam stadium sekitar jam 8 malam. Hampir tiga suku stadium berwarna putih menandakan lebih 60 ribu penyokong Shah Alam Antlers ada di dalam stadium, manakalah bakinya merupakan penyokong Miri United yang mengangkat warna biru muda.

Kami melihat Wilfred Nangga dan Faizal Halimi, pemain utama Shah Alam Antlers sedang melakukan sesi pemanas badan. Manakala Shah Alam Antlers pula, Lutfi Daniel, kapten yang telah bersama Antlers sejak mereka merupakan pasukan komuniti, antara bintang utama yang membawa Antlers menang Liga Super musim lalu.

Wisel dibunyikan, dengan harapan Miri United FC mengalahkan Shah Alam Antlers FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. Era bolasepak negeri telah ditinggalkan, kini era baru akan membawa Malaysia ke pentas dunia.

β€˜Aku’ adalah seorang orang dari masa hadapan, dengan harapan penulisan aku ini akan menjadi kenyataan.

#BubarPasukanNegeri #BubarSarawakFA

Yang berharap,
Wan

Comments
LATEST PROMOTIONSARAWAKCROCS FANTASY PREMIER LEAGUE

4 COMMENTS

Comments are closed.