Dalam dua tiga hari ini, heboh diperkatakan tentang Sarawak FA akan terus kekal di Liga Premier melalui penggabungan dengan Selangor United.

Menurut dakwaan sumber FoxSport, kedua-dua pasukan akan mendapat hasil positif jika penggabungan tersebut berlaku.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Sungguhpun demikian, penggunaan ‘pintu belakang’ seperti ini adalah satu amalan yang tidak elok bagi perkembangan Liga Malaysia.

Walaupun kami bias kepada bola sepak Sarawak, tetapi ianya tidak bermaksud kami bersetuju Sarawak FA kekal di Liga Premier.

Bagi kami, Sarawak FA perlu ‘dibersihkan’ dan perlu ‘muhasabah diri’ dan Liga M3 adalah tempat terbaik ianya dibuat.

Peminat tahu, sudah hampir 3 tahun, Sarawak FA hanya memainkan peranan ‘mencukupkan bilangan pasukan dalam Liga Malaysia’, dan ianya jelas, Sarawak FA, melalui Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) perlu ‘diatur semula’ agar boleh kembali mengaum sebagai kuasa besar bola sepak dari Sarawak. – Ini pun jika pasukan tersebut tidak dibubarkan terus.

Tidak ada apa yang mahu dimalukan bermain di Liga M3.  Persaingan di Liga M3 cukup sengit dan ianya sebenarnya menjadi medan terbaik untuk mengembangkan bakat pemain-pemain muda Sarawak yang kini bermain dengan Sarawak FA.

Dalam pada itu, tindakan Presiden FAS, Posa Majais yang mahu mengekalkan pemain kini pada musim hadapan dilihat sesuatu yang betul.

Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa Liga M3 merupakan liga yang memerlukan dana yang lebih kecil, dan perbelanjaan yang lebih kecil, sekaligus pasti akan membantu FAS menstruktur semula pengurusan yang ada tanpa perlu risau berkenaan perkara lain seperti lesen kelab bola sepak atau keperluan dana yang terlalu besar.  Isu tidak cukup wang boleh dilenyapkan terus.

Untuk makluman semua, Sarawak FA sememangnya pasukan bertaraf negeri yang pertama bermain di Liga M3 (kerana Liga M3 baru setahun jagung), namun jika kita mengambil hakikat bahawa Liga M3 adalah liga bola sepak ketiga tertinggi di Malaysia, Sarawak FA bukanlah pasukan pertama yang jatuh sehingga itu.

Pasukan Perlis FA dan Melaka United pernah bermain di liga bola sepak ketiga tertinggi negara ketika ianya dikenali sebagai Piala FAM.

Pada kami, tiada gunanya Sarawak FA terus bermain di Liga Premier sekiranya hanya mengisi ruang yang ada dengan keputusan di atas padang terus mengecewakan.  Paling tidak, Sarawak FA perlu kembali ke Liga Premier dengan segala urusan pentadbiran sudah diselesaikan dahulu, dengan tumpuan musim itu adalah untuk menjadi juara.

Oleh itu, adalah diharapkan pihak FAS tidak menerima cadangan penggabungan Sarawak FA dan Selangor United yang diura-urakan.

Biarlah pasukan jatuh seketika, dan gunakanlah masa semusim dua untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Kalau semuanya berjalan lancar, pasti Liga Premier, dan kemudiannya Liga Super akan menjadi habuan dengan Sarawak FA muncul sebuah kelab yang benar-benar profesional dan hebat bukan sahaja di atas padang, tetapi juga dari segi pengurusan.