Khabar bahawa pasukan Sarawak FA akan kembali bermain di Liga Premier semakin panas apabila laman Facebook Sarawak Update hari ini mendakwa bahawa perkara tersebut sudah sah akan berlaku.

Menurut dakwaan laman tersebut, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Posa Majais dijangka mengumumkan kembalinya Sarawak FA ke Liga Premier pada mesyuarat exco FAS minggu hadapan.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Sarawak Update juga mendakwa bahawa Sarawak FA akan mengambil nama Sarawak United, sekaligus mengesahkan khabar yang dibawakan oleh laman Facebook La Bola Malaya sebelum ini.

Turut dikhabarkan oleh Sarawak Update adalah betapa ‘Sarawak FA bernasib baik kerana Selangor United mengalami masalah kewangan dan terpaksa menarik diri’.

Dakwaan Sarawak Update boleh dilihat di bawah.

Buat masa ini, pihak FAS, Selangor United dan Malaysia Football League (MFL) belum membuat sebarang kenyataan rasmi berkenaan khabar angin kemasukan Sarawak FA ke Liga Premier 2020.

Sarawak FA diturunkan ke Liga M3 musim hadapan selepas tewas perlawanan play-off Liga Premier 2020 kepada Kuching FA.