Kelab bolasepak Sarawak United yang telah memilih untuk berlatih di Lembah Kelang, bermula 11 Januari lalu dilihat tidak bernasib baik apabila kini terpaksa membatalkan sesi latihan mereka terus.
Ini memandangkan pemain kelab tersebut kini berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana menyaksikan aktiviti sukan tidak dibenarkan sama sekali.
Ini sekaligus menyaksikan pemain dari kelab tersebut hanya boleh membuat latihan bersendirian di rumah dan hotel penginapan mereka, dengan latihan berpasukan tidak dibenarkan sama sekali.
Malah, kami dimaklumkan bahawa beberapa siri perlawanan persahabatan yang sudah dirancang oleh pihak Sarawak United juga terpaksa dibatalkan ekoran PKP.
Sekatan sebegini sememangnya akan mengganggu persiapan kelab tersebut dalam misi mereka mempersiapkan diri untuk Liga Malaysia yang dijangka akan bermula pada 28 Februari kelak.
Sarawak United sebelum ini telah memilih untuk mengadakan latihan di Lembah Klang bagi memudahkan pasukan tersebut merancang siri perlawanan persahabatan dan mengelakkan kuarantin yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Sarawak bagi membendung jangkitan Covid-19.
Sarawak United tahun ini dilihat berbelanja besar dan telah membawa masuk ramai pemain ternama ke pasukan utamanya bagi membolehkan kelab tersebut mencabar kejuaraan liga.
Kelab yang pada asalnya adalah Selangor United ini, telah dijenama semula kepada Sarawak United selepas ianya dibeli oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pada tahun 2019.