Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, 13 Januari dilihat mungkin akan memberi kesan besar kepada saingan Liga Malaysia, dan seterusnya menganggu jadual liga bola sepak profesioanl tersebut bagi musim 2021.

Malahan, pengistiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak Covid-19 sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dilihat bakal turut mengganggu liga yang bakal dijadualkan pada 28 Februari kelak.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat dilaksanakan di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, aktiviti seperti bola sepak adalah tidak dibenarkan sama sekali, dan ini sekaligus akan menyaksikan persiapan pasukan tergendala.

Keadaan lebih baik di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, di mana latihan boleh dilaksanakan mengikut syarat dan SOP yang telah dikenakan setelah kebenaran diberi.

Bagi pasukan – pasukan di Perlis dan Sarawak, keadaan sepatutnya lebih baik dimana aktiviti riadah sememangnya boleh dilaksanakan. Sungguhpun demikian, Kuching, pusat latihan bagi Kuching City FC, diletakkan di bawah PKPB, dan ini sekaligus menyaksikan Kuching City perlu mengikut SOP PKPB.

Dalam pada itu, persoalan kini timbul sekiranya Liga Malaysia akan ditangguhkan atau terbatal terus berikutan situasi semasa.

Umum sedar, dengan bilangan nombor pesakit Covid-19 yang kian meningkat dan kini mencapai ribuan sehari, ianya adalah sukar untuk PKP dan PKPB terus dihentikan terus pada 26 Januari kelak.

Malahan, dengan aktiviti pengesanan aktif giat dijalankan dalam seminggu dua ini, bilangan kes dijangka akan terus meningkat dan hanya mungkin akan dapat distabilkan dan diturunkan seawal pertengahan atau hujung Februari kelak.

Jika jangkaan ini benar, persiapan ramai pasukan sudah pasti akan terjejas, dan Liga Malaysia mungkin tidak harus atau tidak dapat dimulakan seperti yang dijadualkan.

Malahan, dengan darurat juga dilaksanakan sehingga Ogos 2021, timbul persoalan jika Liga Bolasepak Malaysia boleh diteruskan.

Buat masa ini, pihak Malaysia Football League dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, jadi persoalan berkenaan perjalanan Liga Malaysia kini menjadi tanda tanya.

Apapun, diharapkan keselamatan pemain dan pegawai bola sepak akan menjadi keutamaan semua apabila MFL membuat keputusan kelak.