Kelab bolasepak Kuching City kini mempunyai sedikit kelebihan berbanding pasukan lain di Liga Malaysia apabila kelab tersebut dilihat masih boleh menjalankan latihan, biarpun Kuching terletak di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini memandangkan latihan berpasukan dengan jumlah terhad dan dengan kebenaran dari pihak berkuasa dibenarkan di bawah PKPB.

Ini sekaligus memberi ruang kepada pemain Kuching City meneruskan latihan berpasukan mereka dalam persediaan menghadapi Liga Malaysia kelak.

Kuching City juga telah bertindak bijak dengan membawa masuk pegawai dan pemain Semenanjung Malaysia mereka awal.

Ini telah menyaksikan kedua – dua Irfan Bakti dan Sulaiman Hussin kini berada di pusat kuarantin di Kuching sebelum dibenarkan bersama pasukan mereka untuk mengendalikan latihan.

Sungguhpun Kuching City dilihat bernasib baik, timbul tanda tanya berkenaan perjalanan, mahupun penganjuran Liga Malaysia musim ini.

Ini adalah kerana Pengistiharan Darurat kelmarin juga mampu memberi impak dan implikasi kepada penganjuran Liga Malaysia, dan situasi jangkitan Covid-19 di negara jiga dilihat semakin meruncing.

Walau apa pun, jika Liga Malaysia diteruskan, Kuching sekurang – kurangnya mempunyai pasukan yang lebih bersedia jika dibandingkan dengan pasukan lain yang tersekat sesi latihan mereka ekoran keberadaan mereka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mana latihan tidak dibenarkan sama sekali.