Derby Kuching: Sebenarnya, dua – dua mahu menang

Malam ini, Kuching City akan melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Negeri.

Perlawanan yang akan disiarkan secara langsung melalui aplikasi MyCujoo itu dilihat sebagai satu perlawanan penting bagi kedua – dua pasukan kerana ianya dilihat sebagai bermain untuk maruah pasukan.

Walaupun kedua – dua pasukan dilihat cuba untuk tidak menyatakan mereka mahu mengalahkan lawan masing – masing di dalam perlawanan tersebut, ianya satu ‘rahsia terbuka’ bahawa Kuching dan juga Sarawak mahukan tiga mata penuh.

KEPENTINGAN TIGA MATA

Sememangnya adalah pelik jika sesebuah pasukan memasuki padang untuk sekadar seri apabila mereka nampak perlukan mata penuh.

Pada minggu ini, Kuching memerlukan tiga mata untuk terus kekal bersaing di Liga Premier dan mereka kini terdesak menginginkan kemenangan sulung mereka di liga profesional.

Sarawak United pula mahukan tiga mata tersebut untuk mendaki Liga Premier, dan menunjukkan mereka adalah pasukan yang perlu digeruni.

Amri merupakan antara aset berstatus bintang bagi Sarawak United musim ini

Ini terutama sekali dilihat perlu apabila pasukan tersebut telah berbelanja agak besar untuk mendapatkan pemain dan jurulatih yang bagus untuk bermain di dalam pasukan musim ini.

Sungguhpun demikian, mungkin atas perasaan hormat, kedua – dua pasukan enggan secara terbuka menyatakan mereka mahu memenangi perlawanan tersebut dan cuma menyatakan mereka mahukan ‘keputusan positif’.

Pada perjumpaan pertama, kedua – dua pasukan sekadar berkongsi mata.

PEMINAT TEGAR MAHUKAN KEMENANGAN

Di kalangan peminat, dapat diperhatikan bahawa segelintir penyokong kedua – dua pasukan saling mahukan kemenangan dimiliki oleh pasukan masing – masing.

Bagi peminat tegar Sarawak United, kemenangan bukan sahaja untuk mendapatkan tiga mata tetapi juga merupakan penebus maruah kepada kekalahan pasukan Sarawak FA (kini Sarawak United II) pada perlawanan play – off Liga Premier di penghujung musim lepas.

Kekalahan Sarawak FA pada ketika itu merupakan satu tamparan hebat kepada penyokong tegar pasukan tersebut, dan juga pemilik kelab tersebut, Persatuan Bola Sepak Sarawak.

Kuching pada tahun lepas selepas memenangi perlawanan play-off Liga Premier

Bagi peminat Kuching City, mereka mahu kelab bola sepak muda mereka membuktikan bahawa kemasukan pasukan kesayangan mereka ke liga Malaysia bukanlah nasib semata – mata.

Mereka mahu Kuching membuktikan bahawa pasukan yang mereka sokong adalah setanding dengan pasukan – pasukan lain yang menerima peruntukan lebih besar.

KUCHING DERBY BOLEH PANAS TETAPI..

Sesungguhnya ‘rivalry’ atau persaingan yang hadir di dalam ‘Derby Kuching’ ini adalah sesuatu yang biasa dalam bola sepak dunia.

Persaingan kedua – dua pasukan tidak jauh dari persaingan antara kelab – kelab di London (Chelsea, Arsenal, Spurs) ataupun kelab – kelab di Manchester (Manchester United dan Manchester City).

Sungguhpun demikian, Kuching Derby ini sangat ‘panas’ jika dibandingkan dengan mana – mana perlawanan bola sepak lain di Malaysia.

Ini amat jelas di media sosial di kalangan peminat kedua – dua pasukan, dan kedua – dua pasukan telah juga cuba mengekang persaingan seperti ini daripada berlarutan dengan menjalinkan kerjasama strategik.

Satu contoh adalah perpindahan Hudson Dias ke Kuching FA yang mana disebut sebagai satu tanda hubungan baik kedua pasukan.

Hudson DIas, penyerang Sarawak FA yang ‘diberi’ kepada Kuching FA

Dalam pada itu, walau siapapun yang disokong, adalah diharapkan peminat kedua – dua pasukan akan mengamalkan peribahasa ‘air dincincang tidak akan putus’ dimana kedua – dua pasukan bolehlah berbalah di atas padang, namun biarlah mereka berkawan selepas perlawanan.

Ini adalah kerana peminat Kuching adalah rata – rata juga peminat Sarawak suatu masa dahulu, dan penyokong Sarawak adalah juga warga Kuching.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top