Kelab bolasepak Kuching FA hari ini memaklumkan bahawa kelab tersebut telah ditawarkan khidmad Hudson Dias oleh Sarawak United FC.

Khidmat Hudson bersama Sarawak United khabarnya berakhir selepas FAS mengambil keputusan mengugurkan semua pemain import yang telah diambil dan yang masih dalam tempoh percubaan selepas melepaskan Ketua Jurulatih Magro Olivera.

Sarawak United FC yang dimiliki sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) didakwa membuat tawaran demikian apabila Kuching FA membuat kunjungan hormat kepada Presiden FAS Posa Majais dan exco FAS.

Menurut Kuching FA, perjumpaan dengan FAS adalah untuk memberi taklimat berkenaan perkembangan Kuching FA dan “memohon nasihat berkenaan cabaran Kuching FA dari segi pendaftaran teknikal dan kejurulatihan.”

Kuching FA menyatakan bahawa hasil daripada pertemuan itu, beberapa kerjasama telah dirangka akan dibuat bersama.

Kuching FA adalah pasukan baharu di dalam Liga Premier 2020 selepas pasukan tersebut berjaya menewaskan pasukan Sarawak FA di dalam play-off Liga Premier musim lepas.

Pasukan yang baharu berusia lima tahun itu dilihat berpotensi besar dan sudah mula mendapat sokongan padu ramai peminat bola sepak di Malaysia.