Dengan Kuching City kini semakin jatuh di tangga bawahan Liga Premier, barisan kejurulatihan pasukan tersebut kini dilihat semakin risau akan kegagalan pasukan tersebut memungut mata penuh.

Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin berkata bahawa pasukan Kuching City harus mula menjaringkan gol sekiranya mahu mempunyai peluang untuk mencabar di dalam Liga Premier.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan mengakui bahawa menjaringkan gol adalah penting bagi pasukan bimbingannya, dan ianya lebih penting daripada menyajikan permainan yang cantik.

“Pada saya, apa yang kita inginkan dalam perlawanan adalah apabila anda bermain, anda menjaringkan gol. Lebih baik main macam Kelantan. Tak perlu main cantik, tetapi dapat gol. Kesudahan 90 minit, dapat tiga mata.” kata Sulaiman selepas perlawanan.

“Dalam bola sepak, siapa yang mengambil kesempatannya, dan hari ini Kelantan mengambil kesempatannya dalam satu peluang yang dia dapat. Kita banyak peluang, tetapi kesudahnya, Kelantan menang.” katanya lagi.

Dalam perlawanan Kelantan menentang Kuching City Sabtu lalu, Kuching City menguasai perlawanan dengan serangan – serangan berbahaya yang dikecewakan oleh kecemerlangan Al-Iman, penjaga gol Kelantan.

Mengulas lanjut berkenaan punca kekalahan pasukannya, Sulaiman berkata bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang alasan berkenaan punca kekalahan tersebut, dan mahu fokus mencari cara untuk membolehkan Kuching City menambah mata mulai perlawanan akan datang.

“Ini perkara yang kita hadapi daripada perlawanan pertama lagi. Kita tidak boleh memberi alasan.

“Kita kena cari di mana, dan apa yang perlu kita lakukan, jika tidak kita akan ketinggalan jauh.” ujar Sulaiman lagi.

Kuching City kini di tangga ke-sembilan Liga Premier dan berdepan risiko sukar bersaing untuk tempat ke Liga Super 2022 jika terus gagal mencatatkan kemenangan dalam aksi Liga Premir berikutnya.