Kelab bola sepak Sarawak United telah berjaya mengekalkan rekod bersih, yakni gagal dibolosi pihak lawan sepanjang lima perlawanan sebelum ini, namun rekod tersebut telah lebur apabila Skuad FAM – MSN berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan Liga Premier kedua – dua pasukan Sabtu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Azhar Haraz memastikan satu – satunya peluang menjaringkan gol oleh pihak Skud FAM – MSN itu disempurnahkan sepenuhnya dengan menjaringkan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukannya pada minit ke 56.

Mengulas kegagalan mempertahankan rekod tanpa bolos mereka, Ketua Jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan berkata bahawa beliau merasakan ianya satu kerugian apabila pasukannya gagal mempertahankan rekod tersebut.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, ini adalah kerana pasukan beliau sememangnya mahu memastikan rekod tanpa bolos mereka dikekalkan, sebolehnya sehingga akhir musim.

Beliau walaubagaimanapun mahu melihat ke arah positif yang mana, Sarawak United masih belum lagi dibolosi melalui jaringan padang.

“Tetapi sayangnyalah, rekod kita yang kita pegang selama lima perlawanan tidak dibolosi, sebab satu penalti.” ulas Elavarasan selepas perlawanan.

“Ini satu kerugian kerana matlamat kita memang untuk memastikan gol kita tidak dibolosi.

“Jadi fikir positif, mereka tidak dapat menjaringkan gol padang, tetapi hanya gol penalti.” ujarnya lagi.

Biarpun dibolosi pada perlawanan ke-6, pasukan Sarawak United berjaya membelasah pasukan Skuad FAM – MSN 7 – 1 dalam perlawanan yang menarik pada malam Sabtu tersebut.