Sarawak United FC khabarnya bukan sahaja berjaya mendapatkan balik khidmat Tommy Mawat Bada, tetapi juga khabarnya berjaya menambat kembali dua lagi bekas pemainnya, yakni Nor Shamie Iszuan dan Azman Chuchu.
Nur Shamie yang meninggalkan Sarawak FA untuk ke Negeri Sembilan FA pada tahun 2019, dikhabarkan telah bersetuju untuk menyarung jersi kelab Sarawak United.
Sungguhpun demikian, kedudukan Nur Shamie sebagi pemain utama dilihat agak sukar di dalam pasukan bimbingan E Elavarasan itu biarpun pemain sayap itu merupakan bekas pemain Bawah-22 Malaysia suatu ketika dulu.
Ini adalah kerana, biarpun beliau boleh dianggap sebagai pemain serba boleh, Nor Shamie masih perlu bersaing untuk tempat di dalam kesebelasan utama dengan bekas pemain kebangsaan seperti R Gopinathan dan Christie Jayaseelan yang sudah sah menjadi pemain Sarawak United.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi pemain kelahiran Sarawak, Azman Chuchu, juga mempunyai saingan hebat untuk masuk ke senarai kesebelasan utama pasukan.
Azman, seorang pemain tengah yang sebelum ini mewakili pasukan Kuala Lumpur dilihat bakal mempunyai saingan sengit seperti juga dengan Nor Shamie.
Walau apapun, kembalinya kedua – dua pemain ini sememangnya adalah satu berita baik untuk peminat bola sepak Sarawak yang mahukan Sarawak United mempunyai lebih ‘darah Sarawak’ di dalam pasukan yang menggunakan nama negeri terbesar di Malaysia ini.
Adalah diharapkan mereka akan lebih menonjol kelak, dan sekaligus membawa pasukan Sarawak United mencapai sasaran musim 2021, yakni menjadi juara Liga Premier.