Kelab bola sepak Sarawak United hari ini mengumumkan senarai pemain mereka untuk musim 2021 dengan nama – nama besar turut terpahat di dalam senarai pasukan bimbingan E. Elavarasan.

Perhatian khusus tertumpu kepada senarai pemain bukan kelahiran Sarawak yang dilihat bakal mewarnai kelab bimbingan E. Elavarasan itu selepas nama – nama besar dikaitkan dengan perpindahan ke kelab yang bertapak di Kuching dalam dua bulan ini.

Pengarah Sarawak United, Posa Majais dalam pada itu mengesahkan bahawa khabar kemasukan R. Gopinathan adalah benar apabila dia mengumumkan pemain sayap tersebut sebagai salah satu daripada lima pemain bukan Sarawak yang akan menyertai pasukan The Golden Hornbill.

Gopinathan yang terkenal dengan larian – larian pantas beliau akan disertai empat lagi pemain bukan kelahiran Sarawak yakni Christie Jayaseelan, Amer Saidin, Nor Haziq dan Norshahrul Idlan Talaha.

Status kemasukan Norshahrul ke Sarawak United sudah lama diketahui peminat apabila beliau sendiri mengesahkan kemasukkan beliau ke Sarawak United, namun kemasukan pemain sayap Christie, pemain pertahanan Amer Saidin, dan penjaga gol Nor Haziq dilihat baharu.

Menariknya, Gopinathan dan Christie merupakan mantan pemain kebangsaan, dengan Amer dan Norshahrul masih lagi bermain untuk Harimau Malaya.

Nor Haziq pula merupakan mantan penjaga gol UITM FC yang pernah juga bermain dengan UKM FC dan PKNS FC sebelum ini.

Dengan kemasukan pemain – pemain yang dilihat bertaraf bintang, Sarawak United FC dilihat bukan lagi pasukan sebarangan musim hadapan, dan mampu mencabar dalam Liga Premier, dan seterusnya ke Liga Super 2022.

Selain kemasukan lima pemain baharu tersebut, Posa juga mengesahkan pengambilan tiga pemain import baharu bagi kelab tersebut pada musim hadapan.