Malaysia Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa dua pasukan belum lagi mendapat kebenaran memulakan latihan.

Dua pasukan yang disebutkan adalah Sarawak United FC dan Kelantan FA.

Menurut laporan portal Football Tribe, CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sendiri mengesahkan hanya dua pasukan sahaja yang masih belum dibenarkan berlatih iaitu Kelantan FA dan Sarawak United.

“Setakat ini, status dua pasukan iaitu Kelantan dan Sarawak United belum diluluskan. Permohanan dua lagi pasukan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM FC pula diluluskan selepas mereka melengkapkan dokumen yang dikehendaki,” katanya kepada Sinar Harian, lapor Football Tribe.

Ghani juga dipetik sebagai berkata bahawa pihak MFL sudahpun mengingatkan pasukan Liga Malaysia agar melengkapkan dokumen yang diperlukan sebelum menjalani sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2.

“Pihak MFL telah mengingatkan kepada setiap pengurusan pasukan untuk melengkapkan dokumen sebelum menjalani sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2.

“Kini kami sudah muktamadkan tarikh rasmi liga yang akan disambung semula pada 26 Ogos nanti. Jadi, kami tak mahu dengar lagi sebarang alasan.”

Adalah dikhabarkan Sarawak United telah melengkapkan ujian saringan Covid-19, namun masih belum mendapat pengesahan daripada doktor perubatan pasukan, belum mengesahkan venue latihan berdaftar, dan belum menyerahkan nama pegawai penyelaras.

Kelantan pula dikhabarkan masih di peringkat ujian saringan Covid-19 dan perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor perubatan.

Liga Malaysia dijadualkan bersambung semula 26 Ogos ini selepas terhenti hampir empat bulan ekoran pandemik Covid-19.