Tidak sampai 48 jam berita Bryan Jones melahirkan keinginan beliau menjadi penjaring utama Liga Premier bersama Kuching City FC, hadir khabar rasmi bahawa pasukan Liga Premier tersebut kini telah mengikat satu lagi pemain dri Brazil, yakni Aylton Alemao.

Kemasukan Alemao menyaksikan peminat Kuching CIty tertanya – tanya berkenaan status Jones yang mana sebelum ini telah disahkan sebagai antara empat pemain import baharu Kuching City oleh pemiik bersama kelab tersebut, Fazzruddin Abdul Rahman dalam satu sidang media di akhir musim 2020.

Dalam laporan akhbar media tempatan yang terbaharu, Penolong Jurulatih Kuching City, Ideris Untong, mengesahkan bahawa Alemao merupakan pemain import ke-empat kelab tersebut.

Beliau telah menamakan tiga lagi pemain import mengikut laporan tersebut, yakni, Yuta Suzuki, Hudson Dias dan Leo Alves, dimana mereka terbaris di dalam posisi pemain tengah dan pemain penyerang.

Jones yang merupakan pemain penyerang dari senarai asal, tidak disenaraikan oleh Ideris.

Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti, dalam pada itu telah beberapa kali dipetik media sebagai berkata mahukan pemain import di bahagian pertahanan.

Ini sekaligus menjadikan kehadiran tiga pemain import bahagian penyerang seperti yang diumumkan oleh Fazzruddin, sememangnya bercanggah dengan apa yang diutarakan oleh Irfan.

Dalam pada itu, status Jones kini menjadi tanda tanya ramai peminat memandangkan Jones dilihat merupakan antara elemen penting dalam mengubah nasib kelab tersebut dalam Liga Premier musim lepas.

Kemasukan Jones pada beberapa perlawanan akhir Liga Premier telah mempertajamkan lagi bahagian serangan Kuching, dan jika beliau digugurkan, ianya sememangnya dilihat sebagai satu kehilangan besar.