Pemain tengah Kelantan United, Mohd Badhri Radzi tidak kisah memulakan kembali kariernya bersama kelab amatur itu dalam saingan Liga M3 selepas mengharungi banyak pengalaman pahit pada musim 2019.

Jelas bekas kapten pasukan Kelantan itu, dia ingin melupakan detik hitam sewaktu menandatangani kontrak beraksi bersama Perlis pada awal musim sebelum pasukan itu “terkubur” awal selain turut berdepan konflik bersama Kelantan FA pula pada pertengahan musim.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Kini, Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya selesa beraksi bersama Kelantan United yang kini dibimbing oleh Zahasmi Ismail dan aksi pertamanya ketika menentang Penjara FC juga tidak mengecewakan apabila membantu pasukan menang dengan keputusan 4-1 pada Ahad lalu.

Paling utama, Piya ingin kehadirannya dalam pasukan mampu beri impak positif bagi memastikan Kelantan United yang kini di tangga kedua mampu merampas takhta liga daripada pendahulu, Kuching FA

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak pengurusan Kelantan United kerana sudi untuk terima lagi khidmat saya walaupun sudah macam-macam yang saya hadapi sebelum ini.

“Saya tidak nafikan suatu ketika dahulu saya pernah berada di atas dan sekarang saya tidak kisah untuk mula daripada bawah walaupun kita sedar banyak kerja rumah perlu dilakukan untuk bawa Kelantan United di satu tahap yang lebih tinggi.

“Walau apa pun, saya ingin fokus betul-betul kepada pasukan ini dalam pastikan misi menjuarai Liga M3 tercapai kerana kita hanya ketinggalan satu mata sahaja dengan Kuching FA ketika ini”, jelasnya.

Melihat kepada usianya yang kian meningkat, Piya menjangkakan dia hanya akan beraksi dalam tempoh dua tahun sahaja lagi dan apa yang menjadi misi utamanya adalah mengembalikan aura bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu yang kian pudar selepas pelbagai konflik melanda Kelantan FA sekali gus ingin buktikan saingan di Liga M3 juga bukan calang-calang.