Kedua – dua Negeri Sembilan dan Sarawak United sekadar seri dalam aksi penting penentu pendahulu Liga Premier malam Sabtu lalu.

Sarawak United yang memerlukan kemenangan untuk memintas Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk meletakkan diri mereka di hadapan apabila Gopi Rizqi menjaringkan gol seawal minit pertama perlawanan.

Gol terhasil apabila hantaran ke kawasan petak penalti oleh Uche Agba gagal diselamatkan dengan kemas Damien Chen yang mana menyaksikan Gopi mudah menolak masuk bola ke gawang gol Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan membalas serangan Sarawak United namun perebutan di dalam kawasan kotak penalti Sarawak United dikeluarkan dari bahaya oleh Taylor Regan.

Sarawak United nyaris menambah jaringan melalui Uche beberapa minit kemudian, tetapi jaringan beliau dibatalkan pengadil susulan offside.

Negeri Sembilan kemudiannya menambahkan jumlah asakan ke gawang Sarawak United, namun barisan pertahanan Sarawak United yang diketuai Taylor memastikan kedudukan terus kekal memihak pasukan pelawat sehingga babak pertama berakhir.

Pada babak kedua, Negeri Sembilan meneruskan aksi serangan mereka dengan membuat banyak cubaan berbahaya ke gawang Sarawak United.

Pasukan tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit awal babak pertama, namun tandukan Nasrullah Haniff ditampan penjaga gol Sarawak United Sharbinee Allawee.

Negeri Sembilan terus mengasak mencari gol penyamaan dan akhirnya, penyerang sensainya, Alain Theiry Akono merembat kencang satu sepakan percuma yang terus menerjah jaring pada minit ke-61, sekaligus menyamakan kedudukan di Stadium Paroi.

Kedua – dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun ketumpulan jentera serangan kedua – dua pasukan memastikan bahawa tiada pemenang terhasil pada perlawanan malam Sabtu itu, dengan Sarawak United dan Negeri Sembilan berkongsi mata pada masa penuh.