Anak kelahiran Sarawak, Lucas Kalang telah sah menjadi ketua jurulatih baharu pasukan Kelab Bolasepak Sabah (Sabah FC).

Lucas yang bakal menggantikan Kurniawan Dwi Lulianto, merupakan pemegang Lesen Kejurulatihan Pro A, dan Sabah FC mengesahkan bahawa kehadiran sijil tersebut merupakan salah satu sebab diantara mengapa Lucas diberi tanggungjawab mengemudi pasukan sang Badak musim hadapan.

Selain memiliki Lesen Pro A, kelayakan akademik Lucas, yang juga merupakan pakar Sains Sukan juga menjadi antara faktor Lucas berjaya memikat pihak pengurusan Sabah.

Ini jelas menunjukkan Sabah kini sedang bergerak ke arah mendapatkan seorang jurulatih yang bukan sahaja tahu melatih pemain, tetapi juga berupaya memasukkan elemen sukan moden ke dalam sesi latihan.

Lucas bukanlah nama yang asing di dalam arena bola sepak Sarawak dengan mantan Pengarah MSN itu juga mempunyai pengalaman membantu Alan Vest pada era 90-an.

Beliau turut terlibat di dalam pengendalian pasukan Kuching FA suatu masa dahulu, dengan pasukan tersebut kini dikenali sebagai Kuching City FC.

”Adalah dimaklumkan bahawa setelah membuat penilaian beberapa calon untuk mengisi Jawatan Ketua Jurulatih, Sabah FC dengan ini mengumumkan melantik Ketua Jurulatih Lucas Kalang Laeng yang berasal dari Sarawak untuk mengemudi Pasukan Sabah FC bagi musim 2021.”

”Keputusan melantik Ketua Jurulatih berasal dari Sarawak tersebut dibuat memandangkan kelebihan yang dimiliki selain daripada Lesen Pro A, Jurulatih tersebut juga mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Sukan.”