Pasukan Sarawak United melabuhkan tirai musim 2020-nya dengan kegagalan melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Ini berlaku biarpun pasukan milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu berjaya bangkit dan mengalahkan Negeri Sembilan FA di Paroi malam ini tadi.

Kemenangan Sarawak United berjaya mengubah kedudukan mereka di dalam Liga Premier, meletakkan pasukan tersebut di kedudukan ke-10, namun ianya tidak cukup untuk menjadi antara lima pasukan terbaik Liga Premier yang bukan pasukan simpanan, yang layak ke Piala Malaysia.

Untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia, Sarawak United perlukan kemenangan ke atas Negeri Sembilan, sambil mengharapkan UKM dan Kelantan United tewas.  Ini akan menjadikan pasukan tersebut pasukan kelima terbaik yang bukan pasukan simpanan di Liga Premier.

Sungguhpun demikian, dengan kemenangan memihak kepada UKM dan Kelantan United malam ini tadi, slot ke Piala Malaysia untuk Sarawak United terus terkubur.

Pasukan yang dibintangi ramai pemain berkaliber itu sememangnya gagal menemui rentak di dalam Liga Premier sepanjang musim ini, dan situasi Covid-19 menjejaskan lagi persiapan dan keputusan pasukan yang dibimbing jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan.

Dengan kegagalan Sarawak United mara ke Piala Malaysia, Sarawak United kini perlu merancang untuk musim 2021 dengan lebih teliti lagi memandangkan pasukan tersebut tidak akan bertanding di dalam sebarang kejohanan profesional anjuran Malaysia Football League (MFL) sehingga musim baharu.

Ini adalah susulan tindakan MFL membatalkan Challenge Cup pada musim ini, sekaligus menyaksikan pasukan – pasukan yang gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia seperti Sarawak United, tiada lagi terlibat di dalam sebarang pertandingan selepas Liga Premier tamat.

Dengan kegagalan Sarawak United mara ke Piala Malaysia, tumpuan kini teralih kepada wakil tunggal pasukan dari Sarawak, yakni Kuching FA (Kuching City FC).

Kuching CIty FC yang dibintangi ramai pemain kelahiran Sarawak mencipta sejarah apabila melayakkan diri ke pertandingan berprestij tersebut buat pertama kali, biarpun baru bermain bola sepak profesional selama kurang setahun.