Dua pasukan dari Kelantan telah melayakkan diri ke Piala Malaysia untuk musim ini, sekaligus mengiringi Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Kuching ke pertandingan berprestij itu.

Pasukan Kelantan FA dan pasukan Kelantan United berjaya mara ke pertandingan tersebut selepas menewaskan lawan masing – masing malam ini tadi, sekaligus menidakkan peluang pencarbar lain seperti UKM FC, Sarawak United, dan Negeri Sembilan yang kini boleh ‘berehat’ dari Liga Malaysia.

Pasukan simpanan seperti JDT II, Perak II, Terengganu II dan Selangor II tidak layak bermain di Piala Malaysia.

Kelantan FA layak selepas menewaskan JDT II dengan kelebihan satu gol, manakala Kelantan United menewaskan Selangor II dengan jaringan 2 – 1.

Ini menyaksikan Kelantan FA naik ke tangga ke-lima Liga Premier, dan Kelantan United berada di kedudukan ke-tujuh.

Dari segi kelayakan ke Piala Malaysia, Kelantan FA kini merupakan pasukan ke-tiga terbaik Liga Premier, manakala pasukan Kelantan United adalah pasukan ke-lima terbaik.

Kedudukan Liga Premier ini walaubagaimanapun dijangka akan berubah sedikit memandangkan pasukan Kuching yang kini berada di kedudukan ke-enam, masih mempunyai satu perlawanan. Sungguhpun demikian, keputusan perlawanan Kuching menentang Kuala Lumpur kelak hanya pelengkap jadual memandangkan kedua – dua Kuching dan Kuala Lumpur telahpun melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Dengan layaknya dua pasukan Kelantan itu, Kelantan kini mempunyai kelebihan tersendiri untuk membawa balik piala berprestij tersebut ke Negeri Kelantan, tetapi mereka tetap bakal perlu menewaskan pasukan – pasukan lebih ‘besar’ yang bermain di Liga Super.

Walau apapun, hakikat bahawa Kelantan kini mempunya dua wakil dari ‘rumah’ yang sama sememangnya menjadikan perlawanan Piala Malaysia kelak lebih sengit dan menarik.

Sebagai rekod, Piala Malaysia tahun ini telah ditukar formatnya ekoran Covid-19.

Format baru akan dilangsungkan secara kalah mati, dengan perlawanan peringkat kumpulan tidak diadakan sama sekali.

Pemenang Piala Musim lepas adalah pasukan Johor Darul Ta’zim.