Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan perlawanan Liga Premier membabitkan Kuala Lumpur dan Kuching FA yang dijadual berlangsung pada 9 Oktober 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras terpaksa dipinda pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan untuk meminda jadual perlawanan terakhir liga itu terpaksa dilakukan berikutan pemain dan pegawai Kuching FA terpaksa menjalani kuarantin COVID-19 selama 14 hari apabila pulang ke Sarawak seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mulai 4 Oktober 2020 sehingga 18 Oktober 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, pasukan Kuching FA akan berdepan masalah untuk mengharungi perlawanan pusingan pertama 16 pasukan TM Piala Malaysia bermula 25-26 Oktober 2020 jika menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Pihak MFL telah meneliti situasi Kuching FA yang memohon secara rasmi untuk meminda tarikh perlawanan dengan Kuala Lumpur dan keputusan untuk meminda tarikh perlawanan asal pada 9 Oktober 2020 itu bagi memudahkan persediaan Kuching FA untuk menghadapi aksi seterusnya dalam saingan awal TM Piala Malaysia.

“Dengan pindaan tarikh perlawanan ini, Kuching FA akan terus berkampung di Kuala Lumpur selepas aksi terakhir Liga Premier itu sementara menunggu perlawanan TM Piala Malaysia tanpa perlu pulang ke Sarawak.

“Perlawanan berkenaan tetap akan berlangsung sebelum undian TM Piala Malaysia jadi saya percaya ini akan memudahkan pergerakan pasukan dalam situasi COVID-19 yang masih melanda negara dan kami berterima kasih kepada Kuala Lumpur yang turut sepakat untuk meminda perlawanan dengan Kuching FA,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Kuching FA kini menduduki tangga kelima liga selepas 10 perlawanan dengan mengumpul 13 mata sudah layak ke saingan TM Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur yang menduduki tangga kedua dengan 21 mata.