Minggu ini tadi, Kuching FA dikhabarkan mempunyai lima pemain yang positif Covid-19 menerusi ujian calitan.

Sungguhpun demikian, menurut laporan akhbar New Straits Times (NST), kelima pemain tersebut mendapat keputusan ‘negatif’ apabila ujian darah dilakukan.

Kini, pasukan bertapak di Kuching itu menunggu ujian ketiga bagi memastikan status pemain, dan mungkin pasukan tersebut.

Setiausaha Kehormat Kuching FA, Iswandi Ali Hassan dilaporkan sebagai berkata bahawa kelima – lima pemain yang dikesan sebelum ini terjangkin Covid-19 telahpun diarahkan menjalani kuarantin dan mereka kini menunggu keputusan ujian ketiga bagi menentukan samada mereka ‘positif’ atau ‘negatif’ Covid-19.

Beliau sendiri memaklumkan beliau juga dikuarantin, sambil menjelaskan kelima – lima pemain yang sebelum ini disahkan positif, kini disahkan negatif.

“Saya sekarang dalam kurantin selama tujuh hari. Saya berharap minggu depan saya boleh mula menulis surat kepada MFL bagi menjelaskan situasi Kuching FA. Pada masa ini, lima pemain adalah negatif” jelas Iswandi kepada NST.

Iswandi juga mengesahkan bahawa pemain pertama yang sebelum ini disahkan positif Covid-19, mendapatnya daripada Kluster Sentosa.

Pemain tersebut telah tiga kali menjalani ujian calitan Covid- 19 dan telah disahkan positif.

Beliau kini telah dikuarantin di Kompleks Belia dan Sukan Kuching.

“Dua lagi pemain telah masuk kuarantin pada Selasa lalu, dan dua orang lagi telah masuk pada Khamis lalu dan mereka akan berada di sana selama 14 hari.” jelas Iswandi lagi.

Iswandi turut memaklumkan bahawa ujian calitan kedua untuk pegawai Kuching FA akan dilakukan pada Ogos 4 hingga Ogos 6 ini.

Iswandi dalam pada itu turut mengesahkan bahawa semua pemain Kuching FA akan dikuaranti sehingga 8 Ogos ini, sebelum pasukan tersebut memulakan semula latihan.