Adakah Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal dibawa ke mahkamah?

Jika menurut laporan BERNAMA, ini mungkin sesuatu yang boleh berlaku dengan pihak Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilaporkan kini sedang meneliti dan mempersiapkan satu afidavit membabitkan FAS.

Menurut MyKamus, ‘Afidavit’ merupakan kenyataan bertulis yang menerangkan fakta yang mana ianya boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam kes mahkamah.

Laporan BERNAMA memetik Presiden PJBM, B. Sathianathan sebagai berkata bahawa pihaknya kini menyediakan dokumen tersebut untuk seorang jurulatih yang telah ‘direhatkan’ oleh FAS, yang mana tunggakan gaji beliau belum lagi dilangsaikan.

Buat masa ini, jurulatih yang disebut oleh Sathianathan tidak dapat dikenalpasti kerana pihak FAS telah ‘merehatkan’ beberapa jurulatih pada musim lepas.

Dalam perkembangan sama, Santhianathan juga meminta jurulatih dari pasukan lain yang mempunyai masalah pembayaran gaji dan tunggakan untuk berhubung dan melaporkan kepada PJBM.

“PJBM bukan ahli magis yang boleh tahu bagaimana anda dilayan jika anda tidak melaporkannya.  Jika jurutalatih tersebut tidak melaporkannya kepada kami, kami tidak tahu.” kata Santhianatan kepada BERNAMA.

“Jika mereka takut kebajikan mereka, atau tindakan akan diambil terhadap mereka, sebaiknya mereka tidak harus menjadi jurulatih.

“Kita ada kontrak dan kita harus memperjuangkan hak kita.  Jangan takut anda tidak akan mendapat kerja pada masa hadapan, atau pihak persatuan tidak akan mengambil anda bekerja lagi” jelasnya lagi.