Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin telah memberi arahan bahawa khidmat Ketua Jurulatih pasukan bawah-16 tahun Malaysia Lim Teong Kim ditamatkan serta merta selepas pasukan bimbingan Teong Kim gagal ke Piala Dunia di Peru pada tahun hadapan.
Pengumuman penamatan khidmat Teng Kim dibuat oleh Michael Stuart Ramalingam yang merupakan Setiausaha Agung FAM.
Menurut Michael, Teong Kim tidak mempunyai kontrak bersama FAM, namun beliau mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
Michael dalam pada itu menyatakan bahawa kuasa FAM adalah terhad kepada melantik ketua jurulatih pasukan, dan Teong Kim masih merupakan seorang pegawai di bawah KBS sungguhpun beliau telah dilepaskan dari jawatan Ketua Jurulatih pasukan B-16.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menjelaskan bahawa Teong Kim, yang juga merupakan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menerima RM175,000 sebulan dan ianya dibayar sepenuhnya oleh MSN.
Beliau dipetik sebagai berkata Teong Kim perlu bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan Malaysia gagal ke Piala Dunia B-17 sambil menambah bahawa Projek Pembangunan Bolasepak National (NFDP) akan diteruskan walaupun wujud keperluan ianya dikaji semula.
Pasukan B16 tahun tewas kepada Jepun 2-0 kelmarin, sekaligus meleburkan sebarang harapan untuk Malaysia untuk ke Piala Dunia B17 tahun hadapan.