Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kempen Liga Premier 2021 bermula 3 Julai 2021 manakala tirai Liga Super 2021 kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

Sebelum ini, hadir ketidakpastian berkenaan perjalanan liga tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan di seluruh negara.

Pengumuman MFL ini menyaksikan Liga Malaysia kini sah akan bersambung dengan beberapa perubahan pada jadual perlawanan dilakukan.

Pindaan jadual tersebut menyaksikan tiga pasukan terkesan ekoran penglibatan mereka di dalam pertandingan peringkat Asia yakni pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC).

Menurut kenyataan MFL, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) yang bersaing dalam kempen Piala AFC.

Susulan itu, pemain mereka akan dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari apabila pulang ke negara selepas perlawanan masing – masing dan ini sekaligus akan menyaksikan peindaan pada jadual liga.

“Selain daripada itu, pindaan jadual Liga Malaysia juga tidak dapat dielakkan selepas JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air. Sementara KDA dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka akan menjalani prosedur kuarantin yang sama namun sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu bagi kejohanan berkenaan.”kata Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan rasmi.

“Sebelum ini pasukan hanya dihendaki kuarantin selama tujuh hari sehaja selepas pulang dari luar negara tetapi KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan kuarantin selama 14 hari bagi mengelakkan sebarang pembawa virus baharu masuk ke dalam negara.

“Selain daripada itu, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda,” katanya lagi.