Satu Malaysia heboh apabila skuad NFDP bawah 16 tahun bimbingan Lim Teong Kim gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun di Peru tahun hadapan apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang berlangsung di Malaysia.

Tiba-tiba semua orang mengambil tahu tentang perkembangan skuad pembangunan ini.

Yang menyedihkan Lim Teong Kim dipecat dan Menteri Belia dan Sukan dengan bangga menyatakan berapakah pendapatan yang diperolehi oleh Pengarah Program NFDP ini.

Sebagai penyokong Malaysia, gagal layak ke peringkat seterusnya sudah menjadi kebiasaan dalam hidup. Tetapi mengapa tiba-tiba semua menuding jari kepada skuad Lim Teong Kim sahaja. Mengapa tidak menyalahkan pasukan yang bertanding di Liga Malaysia yang gagal menyediakan pasukan pembangunan sendiri.

Apa yang sebenarnya diinginkan oleh pemerhati dan penyokong bola sepak kita ini. Mengapa tiada siapa yang mengkritik Khairy Jamaludin sebagai penaung program NFDP ini, mengapa Presiden FAM yang baharu tidak langsung dicuit media. Dimanakah Khalid Ali dan Jamal Nasir dengan pendapat legenda mereka. Semua diam dan hanya Lim Teong Kim dan skuadnya sahaja dipersalahkan.

Sudah letih DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan kepentingan untuk setiap pasukan mempunyai pasukan pembangunan sendiri.

Beliau sangat menitik beratkan isu ini dari awal pembabitan beliau dalam bola sepak sehingga beliau menjadi Presiden FAM. Apabila ditegur oleh TMJ, satu Malaya juga melompat tidak bersetuju dengan kenyataan beliau.

Dalam pembangunan bola sepak satu cetakan biru perlu ada untuk memastikan transisi pemain menjadi lebih mudah. JDT mempunyai cetakan biru ini dan ianya jelas diterapkan kepada semua pasukan JDT dari skuad utama hingga ke skuad JDT bawah 12 tahun. Dengan ini corak latihan dan permainan diseragamkan untuk memudahkan pemain dan jurulatih mengadaptasi corak permainan pasukan utama.

Pembangunan bola sepak juga memerlukan pemain bermain sekurang-kurangnya 40 perlawanan kompetitif setahun. Oleh itu diharap liga bawah 17 tahun yang akan dilancarkan tahun hadapan dapat membantu mencapai impian ini.

Buat pihak yang mengawal selia NFDP, inisiatif ini bagus tetapi ada beberapa modul perlu diperkemas terutama bahagian kekuatan badan dan juga kekuatan mental. Kerana anak- anak muda ini jelas gugup berhadapan dengan puluhan ribu penyokong fanatik.

Untuk berjaya kita memerlukan masa. Empat tahun bukanlah panjang untuk pembangunan bola sepak. DNA penyokong Malaysia yang didedahkan dengan corak permainan Liga Inggeris “hit and run” sudah sebati dalam diri sehingga mereka tidak boleh menerima corak permainan hantaran pendek yang diterapkan oleh Lim Teong Kim.

Mereka memaki hamun corak permainan pasukan dan jelas anak-anak muda itu gugup di atas padang. Mereka gagal mengikut arahan jurulatih sebaliknya terpaksa mendengar kata penyokong kerana takut dimaki. Dimanakah kita diusia yang sama seperti mereka. Fikir-fikirkanlah. – SARAWAKCROCS.COM/JJF

Comments
LATEST PROMOTIONSARAWAKCROCS FANTASY PREMIER LEAGUE