Kini terdapat perkhabaran tidak rasmi bahawa Kuching City FC akan ‘menumpang’ di Stadium Pasir Gudang yang digunakan oleh JDT III.
Khabar tersebut buat masa ini belum dapat dimuktamadkan kebenarannya, namun jika ianya benar, ianya menggambarkan kerjasama erat pasukan bola sepak terbaik Malaysia (JDT) dengan pasukan muda dari Kuching itu.
Kuching CIty sememangnya dilihat agak rapat dengan pasukan milik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), dimana pasukan tersebut sering diberitakan memberi bimbingan kepada pasukan Kuching City sejak dahulu lagi.
Selain Kuching City, Sarawak United juga dikhabarkan akan menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai ‘rumah baharu’ mereka sepanjang Liga Malaysia tahun ini.
Menurut perkhabaran tidak rasmi, Sarawak United akan menggunakan Selayang sebagai venue ‘tuan rumah’ mereka.
Ini sekaligus mengembalikan pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Selangor United, ke Lembah Klang yang merupakan ‘rumah asal’ pasukan tersebut.
Sebelum ini, pasukan – pasukan Sarawak, Kuching City dan Sarawak Untited FC, telah melahirkan persetujuan untuk menghabiskan baki perlawanan Liga Malaysia musim ini di Semenanjung Malaysia.
Persetujuan tersebut dinyatakan ekoran situasi penyebaran Covid-19 yang meningkat di Sarawak pada masa itu, yang sekaligus menyaksikan beberapa perintah kawalan pergerakan yang ketat dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Bilangan kes Covid-19 di Sarawak, khususnya di Kuching telah menurun sejak itu, namun beberapa peraturan kemasukan ke Sarawak masih diperketatkan oleh Kerajaan Sarawak.
Ini sekaligus menyukarkan pasukan dari Semenanjung Malaysia hadir bermain di Kuching.
Malahan, pasukan Kuching City dan Sarawak United juga mungkin berhadapan kesukaran untuk mengadakan perlawanan di tanah Sarawak ekoran ketatnya peraturan kawalan untuk mengurangkan penularan Covid-19 oleh Kerajaan Sarawak.
Apa pun, jika benar kedua – dua pasukan akan menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai ‘rumah baharu mereka’ sepanjang baki Liga Malaysia, ianya tidak membawa banyak masalah kepada peminat kerana semua perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran penonton.