Kelab bola sepak Liga Premier, Kuching City FC, mungkin akan ‘berkampung’ di Semenanjug Malaysia pada babak awal saingan Liga Premier.

Tidak seperti kelab Sarawak United FC yang terus menggunakan Stadium Selayang sebagai venue sah kelab tersebut pada pusingan pertama Liga Premier, Kuching City mahu memohon agar empat pertama awal mereka diadakan di tempat lawan dahulu.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman.

“Sebagai permulaan kita berhasrat untuk cuba memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), agar empat perlawanan awal kami diadakan di tempat lawan (Semenanjung), bertandang di tempat lawan dahulu memandangkan SOP yang mewajibkan pemain dikuarantin selama 14 hari jika balik ke Sarawak.” kata Fazzrudin kepada Bernama.

Ini bermaksud Kuching City telah memilih untuk memulakan kempen Liga Premier mereka dengan bertandang di tempat lawan dahulu dengan perlawanan – perlawanan yang dijadualkan di Kuching berlangsung kemudian.

Menurut Fazzrudin, jika MFL bersetuju dengan cadangan tersebut, pemain dan pegawai kelab tersebut akan terus ke Kuala Lumpur dan membuat persediaan sepatutnya.

Kelab akan kemudiannya meneliti semula jadual perlawanan mereka selepas empat perlawanan tersebut, dan jika kerajaan Sarawak masih mewajibkan kuarantin 14 hari bagi pemain bola sepak, maka kelab tersebut akan mempertimbangkan untuk terus menetap di Kuala Lumpur dan memindahkan gelanggang mereka ke Semenanjung Malaysia secara sementara.

“Jika mereka (MFL) bersetuju, kami akan terus pergi ke Kuala Lumpur dan menetap di sana sepanjang empat perlawanan tersebut.

Selepas empat perlawanan tersebut, kita akan melihat semula SOP kerajaan negeri Sarawak, jika SOP masih sama mungkin kita akan membuat keputusan untuk memilih satu stadium di Semenanjung sebagai gelangan tuan rumah kita buat sementara waktu,” katanya Fazzrudin lagi.

Dalam jadual Liga Premier yang dikeluarkan MFL, Kuching dijangka akan memulakan aksi Liga Premier menentang kelab Terengganu II di Stadium Negeri pada 9 Mac ini.