Jika diperhatikan pada ruangan komen, ramai yang berbual berkenaan hal kelab bola sepak dan penggunaan anak jati negeri tersebut dalam kelab tersebut.

Peralihan budaya bola sepak Malaysia yang kini lebih terarah kepada era penswastaan dan komersial menyaksikan kelab – kelab bola sepak Malaysia mengekalkan nama negeri, tetapi tidak mengambil ramai pemain anak kelahiran negeri asal mereka.

Ini kita boleh lihat pada pasukan JDT FC, Sarawak United FC, Selangor FC dan banyak lagi.

Perkara biasa

Sesungguhnya, penggunaan anak jati dalam pasukan bertopengkan nama negeri (atau tempat) adalah satu perkara biasa dan digunapakai oleh semua kelab ternama di dunia.

Ini adalah realiti bola sepak yang perlu didukung oleh kebanyakan peminat yang masih terikat dengan semangat kenegerian.

Peminat harus sedar bahawa mengharapkan bakat anak jati akan mengambil masa lama dan kejayaan jangka pendek tidak akan diperolehi dengan cara mengutamakan anak jati dalam kesebelasan utama pasukan kelab tersebut.

Lihat sahaja kelab Manchester City yang telah berbelanja besar untuk meghasilkan sebuah pasukan yang serba baik, dan dibangunkan dengan cara membeli pemain – pemain terbaik dunia.

Ini yang sedang dilakukan oleh kelab – kelan di Malaysia yang menggunakan nama negeri, jadi ianya bukanlah sesuatu yang baharu ataupun salah.

Jika kewangan sesebuah kelab adalah stabil dan kukuh, mengambil pemain terbaik sememangnya akan menjanjikan kejayaan dalam masa yang singkat.

Kelab bola sepak harus bertolak ansur

Sungguhpun demikian, kelab bola sepak juga harus bijak dan bertolak ansur dalam menagih sokongan peminat.

Penggunaan istilah ‘sokonglah kami kerana kami adalah kelab yang mewakili negeri anda‘ tidak harus menjadi slogan untuk menarik sokongan peminat.

Sebaliknya, mereka haruslah menunjukkan mereka mampu bersaing di atas padang agar peminat akan mahu menyokong mereka.

Bukan setakat itu, penjenamaan pasukan tersebut juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelab tersebut mampu mendapatkan sumber kewangan dari luar padang bola sepak.

Oleh sebab itu, kebanyakan kelab berbelanja besar dalam menjenamakan kelab mereka dengan betul bagi memastikan pasukan tersebut kelihatan gah di mata peminat.

Setiap peminat suka akan pemenang, jadi keputusan yang baik, ditambah dengan jenama yang kukuh, pasti akan menarik peminat.

Jika pasukan tersebut sering menang, sokongan peminat setempat akan juga meningkat dan peminat tidak akan kisah siapa yang menyarung jersi kelab tersebut.

Pemisahan kelab bola sepak dan persatuan bola sepak

Dalam perkembangan sama, persatuan bola sepak sesebuah negeri seharusnya tidak lagi terlibat secara langsung di dalam perjalanan sesebuah kelab bola sepak swasta.

Malah, dana dan geran yang diturunkan kepada sesebuah persatuan sepatutnya tidak digunapakai untuk membantu kelab – kelab swasta ini.

Persatuan seharusnya memisahkan diri secara langsung daripada kelab bola sepak tersebut dan hanya menggunakan dana mereka untuk pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Sama juga, pasukan yang sudah diswastakan seharusnya tidak lagi terikat dengan persatuan bola sepak negeri masing – masing.

Dalam erti kata lain, kelab bola sepak seharusnya diuruskan sebagai sebuah syarikat dengan untung dan rugi dari segi kewangan diambil kira bagi perjalanan kelab tersebut pada setiap hujung kewangannya.

Keputusan – keputusan berkenaan pasukan seharusnya dibuat dengan melihat kesan kepada kewangan pasukan dalam jangka masa panjang, dan tidak lagi hadir keperluan mengharapkan geran dari kerajaan negeri.

Kelab dalam pada itu harus bijak mencari cara mendapatkan dana, dan pasukan yang telah gagal menguruskan dana mereka dengan bijak harus dibiarkan ditutup.

Jika sesebuah persatuan terus campur tangan dalam urusan kelab swasta, ianya akan menyukarkan pembangunan kelab dan akhirnya membawa kepada kejatuhan kelab tersebut.

Oleh itu, persatuan bola sepak dan kelab bola sepak seharusnya menjadi dua entiti berbeza dan tidak mempunyai ketua yang sama kerana ini akan mengakibatkan berlakunya ‘konflik minat’ (conflict of interest).

Ke arah lebih positif

Akhir kata, kejayaan Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malayia (FAM) mengubah cara bola sepak di Malaysia diuruskan sememangnya sedang menuju ke arah positif.

Akan tetapi, masih ada lagi persatuan bola sepak dan kelab bola sepak yang dilihat sukar memisahkan diri dari segi pengurusan, biarpun ianya dinyatakan terpisah di atas kertas.

Adalah diharapkan persatuan bola sepak dan kelab bola sepak seperti ini akan cepat sedar dan memisahkan diri mereka daripada satu sama lain agar pengurusan kelab bola sepak dan juga persatuan akan lebih terurus.

Jika ini berjaya dilakukan, maka bola sepak di sesebuah tempat akan berkembang dengan cara positif.