PROMOSI BAJU

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kejohanan Challenge Cup bagi edisi 2021 terpaksa dibatalkan akibat beberapa faktor disebabkan impak pandemik COVID-19 sepanjang musim ini yang menyukarkan pasukan-pasukan untuk bertanding.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, badan pengelola Liga Malaysia itu amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pasukan tidak kira status masing-masing untuk membuat satu keputusan secara kolektif demi kepentingan bersama.

Promosi RM1

Jelas beliau, penilaian rapi melibatkan tiga elemen iaitu maklum balas penaja, masalah kewangan kelab yang begitu terkesan akibat kos-kos di luar jangkaan sepanjang Liga Premier dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih tiada kelonggaran sepanjang pandemik COVID-19 diambil kira di mana ia banyak memberikan kesan kepada pasukan-pasukan sekiranya kejohanan Challenge Cup diteruskan.

// KOLEKSI JERSI LIGA MALAYSIA BLACKEN TERKINI

“Dimaklumkan Challenge Cup 2021 terpaksa dibatalkan selepas MFL bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Challenge Cup telah mencapai kata sepakat untuk membatalkan kejohanan ini.

“Sebenarnya ia bukan satu keputusan mudah sama ada membatalkan atau meneruskan tetapi atas beberapa faktor, pasukan-pasukan bersama MFL secara kolektif telah bersetuju agar kejohanan ini tidak diteruskan.

“Pertama, kejohanan Challenge Cup 2021 daripada sudut penajaan tidak memberikan nilai tambahan bagi aspek komersial dalam pandemik COVID-19. Umum mengetahui bahawa kejohanan ini tiada siaran langsung tambahan pula penonton masih tidak dibenarkan hadir ke stadium atas larangan pihak kerajaan.

“Justeru, ia melibatkan faktor kedua di mana pasukan-pasukan yang kini sedang berdepan masalah kewangan bukan sahaja daripada kos penganjuran perlawanan, sebaliknya kos penginapan, pengangkutan dan kos tambahan SOP dalam latihan terpaksa ditanggung tanpa sebarang pulangan yang mana sebelum ini mungkin kemasukan penonton dan hasil penajaan dapat membantu mereka dalam kewangan masing-masing.

“Faktor ketiga adalah polisi semasa kes-kes positif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan kekangan kepada pasukan bertanding.

“Jadi, pasukan-pasukan yang bertanding telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama MFL hari ini dan selepas mengambil kira setiap aspek itu akhirnya secara kolektif bersetuju untuk kejohanan Challenge Cup 2021 dibatalkan atas kebaikan bersama,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Meskipun Challenge Cup 2021 terpaksa dibatalkan namun kesemua 11 pasukan Liga Premier dapat beraksi dalam saingan liga yang penuh mencabar musim ini iaitu masing-masing mengharungi 20 perlawanan.

Tambah Stuart, berdasarkan perbincangan bersama pasukan-pasukan dalam mesyuarat itu juga, mereka menyatakan persetujuan untuk menghormati kontrak pemain dan pegawai sehingga hujung kontrak musim 2021 biarpun Challenge Cup 2021 dibatalkan. – MFL