Home Malaysian football Bintang lama bakal pecut Sarawak United ke Liga Super 2022?

Bintang lama bakal pecut Sarawak United ke Liga Super 2022?

Seseorang tidak perlu melihat secara mendalam berkenaan hasrat kelab Sarawak United FC pada musim ini untuk mengetahui bahawa mereka berhajat besar.

Kelab yang menggantikan pasukan Sarawak FA itu jelas mahukan yang terbaik musim ini.

Bagi memastikan impian musim ini tercapai, mereka berkemungkinan telah berbelanja besar bagi mendapatkan pemain dan jurulatih yang dianggap berwibawa dan berkebolehan.

Ini bukan omong kosong, kerana jika diperhatikan senarai pemain di dalam pasukan Sarawak United 2021, ianya sememangnya nama – nama yang cukup gah dan mampu membuat mana – mana pasukan berhati – hati sekiranya mereka dijadualkan berdepan pasukan bimbingan E Elavarasan itu.

Bintang lama masih ada bisanya?

Sungguhpun demikian, ramai juga berpendapat bahawa pemain Sarawak United adalah mereka yang agak ‘berusia’.

Ini sememangnya diakui kerana Sarawak United kini dibarisi pemain – pemain utama yang agak ‘senior’ jika dibandingkan dengan pasukan – pasukan lain di dalam Liga Premier.

Usia pemain – pemain ternama yang mereka telah bawa masuk untuk cabaran musim ini kebanyakannya melebihi 30 tahun.

Pemain utama Sarawak United yang dibarisi Norshahrul Idlan Talaha, Christie Jayaselan, S. Veenod dan S Chanturu semuanya berumur lebih 30 tahun.

Malah ketiga – tiga pemain import kelab tersebut, Sandro Mendonca, Lee Chang-Hoon dan Taylor Reagan juga telah melebihi usia 32 tahun.

Mampukah bintang -bintang ini menyinar di Sarawak United?

Ini sekaligus menyaksikan tidak kurang tujuh pemain utama pasukan tersebut berumur lebih 30 tahun.

Oleh itu, tidak hairanlah jika persoalan di dalam hati ramai peminat kini adalah apakah mereka ini masih mampu menyerlah diambang akhir karier mereka?

Pengalaman beri kelebihan

Ramai juga yang merasakan bahawa usia pemain tidak harus menjadi isu dan petunjuk akan keupayaan Sarawak United musim ini.

Ini adalah kerana hampir semua pemain Sarawak United musim ini samada pernah bermain bersama, atau mempunyai skill yang diprlukan untuk menyerlah.

Ini sekaligus memudahkan persefahaman antara pemain, dan inilah yang sering menjadi masalah kepada pasukan – pasukan yang baru sahaja dibentuk.

Dengan hampir semua pemain Sarawak United sudah biasa dengan gerakan rakan sepasukan, persefahaman antara pemain dilihat lebih mudah dibentuk.

Malahan, biarpun kepantasan tidak lagi memihak kepada pemain – pemain lama ini, kematangan mereka di atas padang mampu memberi kelebihan kepada pasukan yang diyakini akan lebih berdisiplin mengikut taktik yang direncanakan Elavarasan kelak.

Oleh itu, peluang Sarawak United dilihat agak ampuh biarpun pemainnya dianggap agar ‘senior’.

Sentuhan jurulatih berkualiti

Elavarasan pada pelancaran jersi Sarawak United musim lepas.

Menyentuh tentang jurulatih, Elavarasan dan B Sathianathan bukanlah nama biasa dalam arena bola sepak Malaysia.

Kedua – duanya nama ini cukup besar di arena bola sepak Malaysia dan gandingan kedua jurulatih berpengalaman ini sudah pasti mampu menggerunkan lawan, terutama sekali dari segi taktikal.

Mereka berdua bukan sahaja pernah menjuarai Liga Premier, malahan Sathianatan pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik tiga kali dalam karier beliau.

Sathianathan pernah menjadi jurulatih terbaik Malaysia tiga kali.

Apa tidaknya, pengetahuan dan pengalaman kedua – dua jurulatih kini bergabung di dalam satu pasukan, dan ini seharusnya memberikan impak positif kepada pasukan Sarawak United.

Tidak cukup dengan itu, pemain – pemain yang dibawa masuk kali ini juga merupakan pemain yang sudah biasa bekerjasama dengan kedua – dua jurulatih, jadi sudah pasti keseragaman dan persefahaman di antara jurulatih dan pemain semakin mudah dicapai.

Pilihan di atas kertas

Oleh itu, sememangnya Sarawak United bukanlah pasukan calangĀ  – calang untuk musim ini.

Ya, sememangnya pasukan lain juga turut membuat persediaan rapi untuk musim ini, namun persediaan Sarawak United nampaknya lebih tersusun kali ini.

Pemain yang dipilih sudah mempunyai persefahaman di antara mereka, dan jurulatih yang dilantik juga mengenali pemain – pemain tersebut.

Ini ditambah pula dengan pengalaman yang dibawa oleh kedua – dua barisan pemain dan jurulatih kepada Sarawak United musim ini.

Oleh itu, jangan hairan jika ‘pecutan awal’ akan dibuat pasukan yang bertapak di Kuching ini kelak apabila Liga Premier bermula.

Ini adalah kerana jika dilihat di atas kertas, Sarawak United adalah pasukan pilihan ke Liga Super 2022.

 

RECOMENDED LINKS: