Kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad menyifatkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim II, (JDT II), Nicolas Alberto Fernandez menjadi ancaman besar buat pasukannya ketika tewas 0-1 dalam aksi final pertama Challenge Cup 2019, Jumaat lalu.

Justeru, Asnan memberikan amaran bahawa Nicolas antara salah seorang pemain JDT II yang perlu dikekang oleh rakan sepasukan menjelang aksi final kedua yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Ini kerana Asnan menegaskan pemain berasal dari Argentina itu memiliki kelebihan skill individu dan berharap benteng pertahanan UKM dapat membataskan pergerakan Nicolas dalam kawasan kotak penalti.

“Saya rasa selepas ini memang kita kena bagi lebih perhatian kepada pemain import JDT II seperti Nicolas yang saya anggap sebagai pemain licik dalam pasukan itu.

“Saya tidak nafikan dia pandai mengawal bola dan menjadi nadi utama pasukan untuk meraka mencipta peluang-peluang keemasan di hadapan gawang gol pasukan kami.

“Untuk itu, dalam final kedua nanti, saya harap semua rakan sepasukan dapat beri lebih perhatian kepadanya tetapi itu tidak bermakna pemain lain JDT II tidak akan mendatangkan bahaya, cuma Nicolas antara yang banyak memberi masalah kepada pasukan kami pada perlawanan final pertama minggu lalu.

“Walaubagaimanapun, fokus utama adalah untuk kami memburu jaringan di laman sendiri (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur) selepas gagal untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu gol di Pasir Gudang”, Jelasnya.

Sementara itu, penolong jurulatih UKM FC, Muhammad Juzaili Samion pula menganggap peluang masih lagi terbuka untuk kedua-dua pasukan bagi merebut trofi Challenge Cup musim ini walaupun JDT II sekarang mendahului dengan kemenangan 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Baki masa yang ada sebelum sepak mula pada Sabtu ini akan digunakan sebaiknya untuk beliau melakukan beberapa perubahan bagi menguasai kembali perlawanan di laman sendiri.

“Saya kena nilai balik dekat mana kesilapan dan kelemahan pada aksi final pertama tempoh hari.

“Selepas itu, kami harus segera melakukan penambaikan dalam tempoh masa yang ada ini untuk pemain-pemain lebih aggresif beraksi di gelanggang sendiri.

“Kalau boleh, jangan lagi ada kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya kerana itulah punca JDT II berjaya jaringkan gol untuk menang pada perlawanan, Jumaat lepas”, katanya.