Pasukan Sarawak FA mungkin sudah terkubur secara rasmi.

Ini adalah pendapat kami apabila melihat kepada berita – berita yang mula keluar di dada akhbar berkenaan kelab Sarawak United FC, mahupun Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Posisi Sarawak FA diganti Sarawak United

Pasukan yang mewakili seluruh bumi kenyalang itu sepatutnya dijenama semula kepada nama baharu apabila pihak Malaysia Football League (MFL) mewajibkan semua kelab bola sepan di dalam Liga Malaysia dijadikan kelab swasta yang terpisah dari persatuan dari segi pengurusan dan kewangan.

Sungguhpun demikian, kemunduran pasukan tersebut sejak jatuh dari Liga Super pada 2015 itu nyata tidak dapat dihalang apabila ianya terus menjunam ke Liga Premier, dan akhirnya Liga M3 pada tahun 2019.

Kejatuhan Sarawak FA ke liga amatur itu menyaksikan Presiden FAS, Posa Majais, bertindak drastik membeli pasukan Selangor United FC.

Dato Posa Majais
Dato Posa Majais

Kelab itu kemudiannya dijenamakan kepada pasukan Sarawak United FC bagi memastikan nama ‘Sarawak’ terus kekal di liga bola sepak profesional Malaysia.

Posa pada ketika itu dipetik media tempatan sebagai berkata langkah tersebut adalah untuk ‘menyelamatkan maruah bola sepak Sarawak‘.

Tidak cukup dengan pembelian dan penjenamaan Selangor United itu, FAS juga telah menumpukan lebih banyak sumber kepada menaikkan kelab tersebut dengan membawa masuk pemain dan jurulatih yang berkaliber.

Ini diteruskan pada tahun ini dengan kemasukan ramai pemain ternama ke kelab tersebut, dengan hasrat Sarawak United ke Liga Super pada musim 2022.

Jika semua ini diambil kira, posisi Sarawak FA sebagai kelab utama di bawah naungan FAS kini sudah diganti dengan Sarawak United.

Sarawak FA tidak dilupakan pada 2020

Sementara itu, pasukan Sarawak FA yang telah hanyut ke Liga M3 sebenarnya tidak dipinggirkan olrh FAS.

Dari laporan laporan media, FAS cuba memberi nafas baharu kepada kelab tersebut dengan melantik jurulatih luar, Sam Timbe.

FAS juga dikhabarkan cuba menjenamakan Sarawak FA kepada Sarawak United II bagi mengikuti konsep pasukan simpanan yang digunapakai pasukan seperti JDT FC.

Sungguhpun demikian, dikhabarnya hadir sedikit ‘masalah teknikal’ pada pemberian nama tersebut, dan nama Sarawak FA terus digunapakai.

Hasrat FAS pada ketika itu nampaknya mudah; Sarawak FA akan melayakkan diri ke Liga Premier, dan Sarawak United akan ke Liga Super.

Sam Timbe telah dilantik sebagai jurulatih Sarawak FA 2020.

Pelantikan Timbe adalah dirasakan sebagai satu perancangan strategik bagi memastikan ini berlaku.

Perancangan itu walaubagaimanapun hanya tinggal kenangan apabila Liga M3 dibatalkan ekoran wabak Covid-19, dan Sarawak United pula mengakhiri musim di kedudukan yang ke-sembilan dari sebelas pasukan.

Tiada dalam sebutan lagi

Hasrat untuk Sarawak FA kembali di kancah Liga M3 musim ni juga nampaknya semakin pudar.

Nama pasukan Sarawak FA tidak ada lagi disebut oleh samada Sarawak United mahupun FAS.

Kenyataan Pengarah Sarawak United, yang juga Presiden FAS, Posa Majais, yang memberitahu bahawa pasukan tersebut tidak akan bertanding di dalam Liga M3 sekiranya dana gagal dicari juga telah dilaporkan media tempatan.

Malahan, pasukan Piala Presiden Sarawak United FC kini turut dipanggil Sarawak United II oleh media tempatan.

Pasukan Sarawak FA 2019

Semua ini, biarpun bukan secara rasmi oleh pihak FAS mahupun Sarawak United, tetapi ianya memberi bayangan bahawa jenama Sarawak FA sudah tiada lagi.

Memang masih timbul persoalan samada Sarawak FA akan diteruskan, namun semua petunjuk menunjukkan kepada ‘kelenyapan’ pasukan tersebut.

Simpan sebagai kenangan

Oleh itu, jika benar Sarawak FA sudah tidak diteruskan lagi, maka kelab tersebut telah secara rasminya tamat akan kehadirannya di Liga Malaysia.

Seseorang tidak boleh menyatakan bahawa Sarawak FA telah dijenama semula menjadi Sarawak United kerana faktanya bercanggah; hakikatnya Sarawak United adalah dijenama semula dari Selangor United.

Ini berlainan dengan Sabah FC yang semamangnya merupakan hasil penjenamaan semula Sabah FA.

Oleh itu, semua sejarah yang pernah dicipta pasukan Sarawak FA selama 47 tahun menjadi wakil tunggal Sarawak di Liga Malaysia akan hanya tinggal kenangan tanpa ada lagi sejarah baru mampu dicipta.

Sarawak FA menang liga tanpa tewas pada 2013

Kenangan menjuarai Piala FA 1992, Liga Perdana 1997, Piala Sumbangsih 1998, Liga Premier 2013, dan pemenang Piala Borneo tujuh kali adalah sejarah manis kepada peminat Sarawak FA.

Bagi yang masih setia dengan FAS, Sarawak United adalah kelab baharu mereka.

Namun bagi yang setia bersama Sarawak FA, mereka pasti terasa akan kehilangan sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan tradisi sejak 1974 lagi.