Home Malaysian football Penjenamaan Selangor United ke Sarawak United menyelamatkan maruah?

Penjenamaan Selangor United ke Sarawak United menyelamatkan maruah?

Sah! Selangor United akan dijenama semula menjadi Sarawak United.

Buat masa ini, belum ada banyak maklumat berkenaan pasukan yang telah dijenama semula ini, namun yang pasti, ianya bukan sahaja akan muncul dengan nama baharu, tetapi akan hadir dengan logo baharu, warna rasmi baharu dan barisan pemain yang ‘agak baharu’.

Selepas Sarawak FA tersingkir ke Liga M3, hadir peminat yang sedih bahawa perkara itu boleh berlaku.

Ada juga yang menyorak gembira, dan tidak kurang pula ada yang redha dengan nasib pasukan yang mewakili Sarawak, Bumi Kenyalang.

Sungguhpun demikian, yang pasti, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) tidak mahu terjunam ke liga bola sepak ketiga tertinggi di Malaysia.

Tidak sampai sebulan Sarawak FA tersingkir ke Liga M3, khabar angin bertiup bahawa FAS akan mengambil alih Selangor United, dan menjenamakan semula pasukan tersebut menjadi Sarawak United.

Jumaat lepas, Presiden FAS, Posa Majais didakwa oleh laman Suara Sarawak sebagai menyatakan bahawa FAS sah akan mengambil alih pasukan Selangor United dan menjenama semula pasukan kepada Sarawak United.

Menurut kenyataan Posa di dalam Suara Sarawak, Sarawak United akan menjadi milik FAS dan bukan pasukan peribadi dirinya. Beliau seterusnya dipetik berkata “Saya memikul tanggungjawab demi maruah negeri, dan kerana itu saya mengambil tindakan drastik ini.”.

Adakah tindakan Posa ini drastik?

Pada hemah kami, YA.

Adakah ianya menyelamatkan maruah Sarawak? TIDAK

Mungkin anda tidak setuju dengan pendapat kami. Tidak mengapa. Itu pendapat anda, ini pendapat kami.

Bagi kami, umum sudah tahu, pasukan Sarawak FA, yang dikenali dengan nama Sarawak, yang mewakili Sarawak Bumi Kenyalang, telah gugur dari Liga Profesonal Malaysia, yakni Liga Malaysia.

Ini adalah hakikat pahit yang perlu kita telan sebagai orang Sarawak. Mengambil alih sebuah pasukan yang sememangnya bermain di Liga Premier, mahupun Liga Super agar maruah Sarawak tidak tercalar, tidak akan membantu.

Ini adalah kerana pasukan tersebut bukan pasukan Sarawak secara merit. Ianya adalah pasukan orang lain yang telah dibeli bagi mewakili Sarawak. Alang-alang sudah mengambil alih sesebuah pasukan seperti Selangor United, mengapa tak terus ambil alih pasukan seperti FELDA United atau PJ City FC, dan terus bermain di Liga Super?

Jadi persoalannya sekarang, maruah siapakah yang sebenarnya cuba diselamatkan melalui pengambilalihan dan penjenamaan semula Selangor United?

Jawapannya, kami pun tidak tahu, tetapi yang pasti, ianya bukanlah maruah Sarawak, Bumi Kenyalang.

Previous articleShamie ke Negeri Sembilan FA
Next articleKesan positif penjenamaan Selangor United kepada Sarawak United kepada FAS