Pasukan Sarawak United dikhabarkan mungkin akan melantik seorang ketua jurulatih baharu dalam masa terdekat untuk mengemudi pasukan bawah-19 tahunnya, yang mana juga merupakan pasukan SUkan Malaysia (SUKMA) Sarawak.

Menurut khabar yang kami dengar, jurulatih tersebut belum pernah mengemudi sebarang pasukan liga profesional di Malaysia, sekaligus mengetepikan nama – nama besar seperti David Usop, Pengiran Bala, Jalil Ramli mahupun nama – nama yang sering didengari di arena bola sepak Sarawak, mahupun Malaysia.

Malahan, jurulatih itu kami fahamkan, belum lagi memiliki Lesen A Kejurulatihan, tetapi pasukan bimbingan beliau sudahpun berjaya merangkul beberapa kejuaraan, dengan pemain – pemain yang pernah berlatih dibawah beliau kini sudahpun bermain di pasukan – pasukan profesional seluruh negara.

Adalah difahamkan bahawa rundingan dengan jurulatih ini sedang berlangsung, namun sumber kami tidak dapat mengesahkan peringkat rundingan tersebut, sambil menyatakan semuanya masih 50-50.

Sungguhpun demikian, perubahan dikhabarkan akan berlaku jika khabar angin ini ada benarnya. Ini adalah kerana jurulatih yang disebut – sebut itu bukan calang – calang orang dan beliau dilihat bijak di dalam menilai kebolehan pemain muda.

Malahan, menurut beberapa pemerhati bola sepak, jurulatih yang dicanang – canang akan menjadi Ketua Jurulatih baharu itu berupaya menggilap pemain muda menjadi lebih baik.

Siapapun jurulatih itu kelak, yang pasti, beliau mempunyai peranan yang sangat penting dalam membentuk bola sepak Sarawak.

Sesunguhnya Sarawak sememangnya tidak kekurangan bakat bola sepak, khususnya jika nama – nama seperti Joseph Kalang Tie, Gilbert Casidy Gaweng, Ramos dan Ramles Sari dan ramai lagi diambil kira. Malah nama – nama seperti Gabriel Nisteltrooy juga kini sudah mula meniti di bibir peminat selepas beliau memilih untuk bersama JDT FC.

Menariknya, pasukan Sarawak sering diangkat namanya apabila berlakunya pertandingan peringkat sekolah di peringkat kebangsaan.

Sungguhpun demikian, kegagalan pasukan Sarawak selepas peringkat sekolah itu menjadi tanda tanya kepada ramai tentang apa yang berlaku kepada pasukan dan pemain – pemain bola sepak Sarawak yang sepatutnya terus membawa nama Sarawak di arena bola sepak lebih tinggi.

Adalah diharap bahawa jika benar Sarawak United ingin melantik jurulatih baharu untuk pasukan bawah – 19 tahun kelak, jurulatih ini mampu menggilap permata dari Sarawak dan seterusnya mengangkat Sarawak bukan sahaja di peringkat Sarawak, tetapi sebagai satu pusat menghasilkan pemain muda yang berbakat.