Rakan Kongsi Liga Malaysian Football League (MFL) berterima kasih dengan agihan pendapatan penajaan yang diumumkan MFL pada musim 2020 selepas mendengar segala penjelasan pada sesi perjumpaan santai bersama Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Khamis lalu.

Menerusi pertemuan itu, segala persoalan yang dibangkitkan sebelum ini mengenai agihan hak penyiaran dan komersial terlerai dan Rakan Kongsi Liga memuji ketelusan MFL.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata, beliau berpuas hati kali ini MFL telah membentangkan secara terperinci mengenai jumlah penajaan serta pendapatan yang dimiliki oleh MFL kepada semua rakan kongsi.

Baginya, komunikasi dua hala itu antara MFL serta rakan kongsi dilihat amat penting agar tidak timbul salah faham pada masa akan datang.

“Jika kita imbau perkongsian yang lepas, memang ada penurunan pemberian hak penyiaran iaitu 3 juta kepada 1 juta bagi pasukan Liga Super untuk kali ini.

“ Bagaimanapun melalui pendekatan MFL buat kali ini, kita diberi maklumat secara telus yang mana semua rakan kongsi boleh tahu keadaan MFL bagaimana, pendapatan dapat berapa, penaja mana yang masuk, jadi nampak ketelusan di situ.

“Dalam keadaan yang disebut tadi, bila semuanya jelas maka tiada salah faham dalam komunikasi antara semua pihak, jadi kami boleh faham mengapa hak penyiaran sebanyak ini sahaja diberikan, ” katanya.

Pada musim 2020, MFL mengumumkan pendapatan penajaan akan diagihkan sebanyak RM 1 juta kepada pasukan CIMB Liga Super manakala Liga Premier mendapat RM500,000.

Perkara itu selaras dengan dengan pemberian agihan kepada Rakan Kongsi Liga dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih oleh MFL jika jumlah penajaan kepada Rakan Kongsi Liga adalah kurang atau melebihi RM18 juta.

Perkara sama turut disuarakan oleh Setiausaha Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim@Alias, yang menyifatkan usaha yang dibuat oleh MFL sangat baik dalam memberi informasi secara terus kepada semua ahli gabungan.

Beliau berharap pendekatan itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kerjasama yang erat semua rakan kongsi liga dengan MFL.

“Hasil perbincangan pada hari ini saya boleh katakan cukup banyak positifnya dan cukup terperinci mengenai nilai hak penyiaran yang diterima tiap pasukan.

“Kami di Melaka mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MFL kerana bekerja keras bangkit daripada krisis yang pernah melanda pada musim lalu.

“Sebelum ini ketika penubuhan FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), pasukan yang bertanding mendapat hak penyiaran sebanyak 40 peratus tetapi sekarang sudah meningkat kepada 75 peratus, jadi ini satu amanah yang telah dijalankan sebaik mungkin oleh Presiden serta Ahli Lembaga Pengarah MFL itu sendiri, ” katanya.

Tamat