Pasukan dari Liga Simpanan bawah 23 tahun yang bakal berentap di pentas Piala MFL 2023 menganggap peluang untuk layak ke pusingan kedua Liga Juara adalah terbuka melihat kepada kekuatan setiap pasukan lawan yang sukar diramal.
Pengendali Kuala Lumpur City FC, Wan Rohaimi Wan Ismail percaya akan lebih banyak kejutan disaksikan dalam pertembungan kali ini untuk merebut kedudukan empat teratas setiap Kumpulan A dan B kerana masing-masing masih belum dapat menilai kekuatan lawan apatah lagi ini adalah kejohanan yang kali pertama diadakan.
Selaku jurulatih, beliau hanya inginkan barisan pemainnya menggunakan sepenuhnya peluang untuk memperkembangkan karier masing-masing selain memastikan mereka mampu mempertaruhkan aksi sengit bagi merebut kejuaraan.
Bahkan, bekas ketua jurulatih PDRM FC ini juga memikirkan untuk turut sama menggunakan khidmat pemain senior dari Liga Super bagi memberikan lebih variasi dalam pasukan bersama pemain muda lain.
“Saya rasa tidak ada satu pasukan pun yang boleh mendabik dada ketika ini untuk mengatakan mereka telah layak sebab persaingan memang nampak sengit di Kumpulan B dan peluang adalah sama rata.
“Saya juga rasa ada banyak kejutan akan berlaku sebab kita sendiri masing-masing masih tiada petunjuk mengenai kekuatan lawan dan sudah tentu sukar untuk kita jangka dalam kejohanan seperti ini.
“Yang penting adalah minit bermain pemain-pemain saya dan dengan adanya juga lima pemain lebih umur yang boleh disenaraikan nanti akan sedikit sebanyak membantu mereka mendapatkan pendedahan berguna”, katanya.
Selain itu, Kelantan United FC pula lebih selesa dilabel sebagai pasukan bukan pilihan apabila diundi berada dalam Kumpulan A bersama-sama lapan lagi pasukan lain.
Ketua jurulatih, Mustaffa Kamal menyifatkan lawan seperti Johor Darul Ta’zim II (JDT II) , Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC II antara lawan yang dilihat mencabar namun beliau positif Kelantan United berpeluang cerah untuk meraih kedudukan empat teratas Kumpulan A.
“Sudah tentu sasaran kita adalah untuk raih empat teratas terlebih dahulu sebelum kita fokus memburu trofi dan kita tahu pasukan pilihan seperti JDT II, Terengganu, Kedah dan lain-lain juga tidak boleh dipandang mudah.
“Jadi kami akan cuba bersaing dengan pemain yang saya ada dan mentaliti anak buah saya sekarang tetap positif untuk menghadapi saingan ini.
“Apatah lagi, dengan adanya kembali gandingan bekas pemain-pemain Kelantan suatu ketika dahulu seperti Zairul Fitree Ishak selaku penolong jurulatih dan Nor Farhan Muhammad sebagai penolong pengurus, saya percaya pasukan ini akan mampu memberikan sesuatu dalam kejohanan ini”, jelasnya.
Kedah Darul Aman FC yang juga berada dalam Kumpulan A tidak terkecuali untuk cuba mencipta sejarah selaku pasukan pertama meraih trofi sulung Piala MFL musim ini.
Pengendalinya, Rosle Md Derus menganggap kejohanan ini ada cabaran tersendiri yang sudah pasti akan memberi banyak kelebihan kepada anak buahnya dalam meraih pendedahan lebih luas kepada perlawanan kompetitif.
“Undian yang sukar bagi kami kerana berada satu kumpulan dengan pasukan-pasukan seperti JDT, Terengganu FC, Sabah FC dan Penang FC.
“Jadi,sudah tentu akan ada cabaran tersendiri dalam mencapai sasaran empat pasukan terbaik yang ditetapkan oleh pengurusan bagi melayakkan diri ke pusingan akhir.
“Memandangkan ini kejohanan sulung, sudah tentu Kedah mahu mencipta sejarah selaku pasukan pertama menjuarai Piala MFL namun saya rasa saingan dijangka seimbang untuk semua pasukan untuk memenanginya”, katanya.
Kumpulan A menyaksikan lapan pasukan bakal berentap membabitkam Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, JDT II, Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.
Manakala bagi Kumpulan B menyaksikan tujuh pasukan iaitu Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC. – MFL