Pasukan Sarawak United FC adalah antara tiga pasukan Liga Malaysia yang dikhabarkan belum memulakan latihan secara berpasukan.

Menurut laporan portal New Straits Times, pasukan bertapak di Kuching itu telah samada belum memohon atau belum diberi lampu hijau untuk memulakan sesi latihan berkumpulan.

Turut sama dikhabarkan belum memulakan sesi latihan adalah pasukan UKM FC dan Kelantan FA.

Pasukan – pasukan bola sepak Liga Malaysia perlu mendapat kelulusan Malaysia Football League (MFL) sebelum dapat memulakan latihan.

Kelulusan tersebut akan diperolehi sekiranya pasukan telah menjalankan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesiahatan Malaysia, lulus ujian saringan Covid-19, serta berjaya menghantar dokumentasi berkaitan kepada pihak MFL.

Sarawak United telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada hujung bulan Jun lepas.

Dalam perkembangan sama, kebanyakan pasukan – pasukan Liga Malaysia lain telah memulakan sesi latihan berkumpulan sejak awal bulan ini.

Pasukan Kuching FA telah memulakan sesi latihan mereka pada penghujung bulan Jun 2020.

Sungguhpun sudah mula membuat latihan, pasukan – pasukan tersebut hanya dibenarkan membuat latihan tanpa kontak.

Bermula 15 Julai ini, pasukan – pasukan yang telah mendapat kebenaran membuat latihan akan dibenarkan menjalani latihan dengan kontak, sekaligus memperhebatkan lagi persediaan pasukan tersebut untuk penerusan Liga Malaysia kelak.