Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tarikh-tarikh bagi kalendar Liga Malaysia musim 2021 yang bakal membuka tirai pada Februari tahun depan.

Kalendar Liga Malaysia 2021 akan bermula dengan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan naib juara liga, Kedah pada 26 Februari 2021.

Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat kali ke-23 baru-baru ini memutuskan bahawa Kedah akan mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai status naib juara CIMB Liga Super selepas tiada pemenang Piala FA dan TM Piala Malaysia di mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, perlawanan-perlawanan domestik seperti CIMB Liga Super dan Liga Premier bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021.

Tambah beliau, kejohanan Piala FA bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac 2021 sehingga aksi final pada 11 September 2021 manakala TM Piala Malaysia bermula 17 dan 18 September 2021 sehingga 27 November 2021.

Manakala kejohanan Challenge Cup akan berlangsung pada 3 dan 4 September 2021 sehingga final pertama pada 6 atau 7 November 2021 diikuti final kedua pada 13 atau 14 November 2021.

“Bagi persiapn pasukan untuk musim 2021, pihak MFL telah menetapkan tempoh pendaftaran pertama, pasukan boleh mendaftarkan pemain bermula 21 November 2020 sehingga 14 Februari 2021 di mana mereka memiliki tempoh sehingga 12 minggu.

“Bagi tempoh pendaftaran kedua, pasukan boleh berbuat perkara sama bermula 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021 di mana tempoh empat minggu masa telah diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu perancangan kalendar baharu Liga Malaysia bagi musim 2021 telah mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya, proses peralihan FA kepada FC di mana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyerahkan pengurusan FC kepada MFL secara rasmi pada 1 Januari 2021 setelah segala urusan semakan fasa kedua perpindahan selesai.

“Sepanjang bulan Januari 2021 beberapa siri taklimat oleh semua unit MFL kepada Pengurusan FC yang baharu untuk menyelaras pentadbiran pertandingan MFL dengan lebih teliti yang melibatkan Unit Pertandingan, Unit Komersil, Unit Media, Unit Penyiar Rasmi, Unit Strategi (ECP) dan lain–lain yang berkaitan bagi memastikan FC bersedia menghadapi Liga Malaysia musim 2021.

“Jadi MFL turut mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) Pasukan Kebangsaan, tarikh Asian Champions League 2021 dan AFC Cup 2021 yang melibatkan tiga pasukan dari Liga Malaysia.

“Selain daripada itu, kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 (AFF) berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei 2021 disusuli kejohanan AFC bawah 19 tahun (B-19) akan bermula 3 sehingga 20 Mac 2021.

“Penetapan tarikh baharu Kalendar Pertandingan MFL adalah tertakluk kepada penetapan kalendar atau tarikh perlawanan peringkat antarabangsa (Pasukan Kebangsaan dan Kelab) oleh FIFA, AFC dan AFF.

“Namun begitu, sebarang pindaan terhadap kalendar, jadual dan format pertandingan Piala Sumbangsih, CIMB Liga Super, Liga Premier, Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup 2021 adalah tertakluk kepada kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya.