Malaysia Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa Sarawak United FC sudah dibenarkan mengadakan sesi latihan.

Turut sama dibenarkan menjalani latihan adalah pasukan Kelantan FA. Sebelum ini, kedua – dua pasukan dikatakan belum mendapat kelulusan pihak MFL untuk menjalani latihan.

Dengan kedua – dua pasukan kini dibenarkan menjalani latihan, maka semua pasukan Liga Malaysia kini sudah boleh memulakan latihan menjelang permulaan Liga Malaysia pada 26 Ogos kelak.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dipetik sebagai berkata kedua-dua pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu sudah melengkapkan kesemua dokumen permohonan seperti ditetapkan.

“Sebenarnya pihak pengurusan kedua-dua pasukan terbabit sudah pun menghantar borang permohonan masing-masing sebelum ini, namun MFL tidak dapat meluluskannya disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang tidak lengkap,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jadi apabila mereka menghantar semula permohonan baharu yang lengkap dan setelah kami semak serta dapati semua mengikut yang diarahkan, tidak menjadi masalah untuk MFL meluluskannya.”

Ghani juga terus menasihatkan semua pasukan supaya mematuhi SOP sedia ada.

“Saya minta semua pemain, jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan Liga-M, jangan pecahkan tradisi latihan fasa 1 sebelum ini, sebaliknya kekalkan tahap disiplin tinggi sedia ada pada fasa 2.

“Tingkatkan tahap disiplin dalam pematuhan SOP tidak hanya di padang tetapi juga di luar padang. Kita kena bersama-sama menjaga keselamatan dan kesihatan walau di mana saja kita berada.”