Pemain bola sepak Liga Malaysia kini dikhabarkan boleh memasuki Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari seperti orang lain.

Ini dikhabarkan merupakan keputusan terbaru yang tular di media sosial.

Dalam satu surat yang kami lihat dan dialamatkan kepada Ketua Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Dato Abdul Ghani Hassan, pihak Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (SDMC) memaklumkan bahawa pemain bola sepak Liga Malaysia kini dibenarkan memasuki Sarawak dengan syarat – syarat pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Antara syarat yang dikemukakan SDMC adalah semua pemain dan pegawai dari luar Sarawak perlu menjalani ujian calitan Covid-19 jenis rt-PCR, tiga hari sebelum datang ke Sarawak.

Selain itu, mereka juga dikehendaki mengisi borang permohonanan melalui aplikasi EnterSarawak, dan menyertakan segala dokumen sokongan untuk permohonan untuk ke Sarawak.

Pemain dan pegawai juga harus hanya berada di Sarawak selama tiga hari dan dua malam sahaja, dengan pergerakan mereka terhad kepada hotel penginapan, venue perlawanan, serta kawasan latihan sahaja.

Dalam pada itu, SDMC memberi tanggungjawab kepada FAS dan FAM untuk memantau SOP yang telah dikenakan terhadap pasukan – pasukan yang akan ke Kuching untuk perlawanan Liga Malaysia kelak.

Buat masa ini, MFL, Kuching City dan Sarawak United belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung kesahihan surat tersebut.

Walaubagaimanapun, jika benar, pelepasan daripada menjalani kuarantin wajib ini merupakan satu berita gembira kepada kedua – dua pasukan Sarawak United FC dan Kuching City FC yang bertapak di Kuching.

Imej surat tersebut, yang kini tular di media sosial anda boleh dilihat dibawah.