Pemain kelahiran Miri, Sarawak, Gabriel Nistelrooy terus cemerlang bersama pasukan Johor Darul Ta’zim II apabila beliau menjaringkan gol ketika perlawanan persahabatan di antara pasukan tersebut dengan PDRM FA.

Walaupun tidak diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama, Nistelrooy membuktikan beliau bersedia untuk bersaing bagi merebut tempat di dalam kesebelasan utama pasukan tersebut apabila menungjukkan aksi menarik selepas dimasukkan oleh oleh JDT II.

Ketangkasan Nistelrooy terbukti apabila beliau menyumbat gol pembukaan pada minit ke-68, sekaligus meletakkan pasukan JDT II di hadapan pasukan tuan rumah.

Nistelrooy yang pernah bermain untuk Kolej Vokasional Miri, telah mengambil keputusan untuk menyertai JDT 4 pada tahun 2019, walaupun beliau dikhabarkan ada menerima tawaran dari pasukan lain.

Bersama JDT 4, kualiti beliau sebagai pemain semakin menyerlah apabila beliau menjadi antara penjaring terbanyak pasukan tersebut dan ini sekaligus menyaksikan beliau ‘dinaikkan taraf’ ke pasukan JDT II yang bermain di Liga Premier pada musim ini.

Kejayaan Nistelrooy diharap akan menjadi inspirasi kepada pemain – pemain muda lain, dan adalah diharapkan Nistelrooy akan terus menyerlah sebagai pemain bola sepak profesional.