LIHAT PROMOSI TERKINI SHOPEE

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

Sudah tiba masanya FAS tidak menguruskan pasukan bola sepak professional, dan sudah tibanya Sarawak United tidak dibayangi FAS.

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) perlu memikirkan hala tuju mereka dengan lebih terperinci bermula musim hadapan dan memberi fokus kepada membangunkan bola sepak sebagai satu sukan di peringkat akar umbi.

Buat masa ini, persatuan yang diterajui Posa Majais itu diperhatikan lebih tertumpu kepada Kelab Bolasepak Sarawak United, yang sepatutnya merupakan satu kelab bola sepak professional.

Kelab bola sepak professional bermaksud ianya tidak harus mempunyai hubung kait secara langsung dengan FAS. Kelab bola sepak professional seharusnya mempunyai cara untuk mencari dana sendiri dan berdiri sebagai sebuah entiti bisnes yang berasaskan bola sepak. Penggunaan geran dari kerajaan seharusnya tidak berlaku.

Sungguhpun demikian, daripada pemerhatian kami, Sarawak United kini seolah – olah adalah pasukan yang berkepentingan secara langsung kepada FAS dengan Sarawak United dilihat sebagai satu pasukan yang secara langsung ditadbir oleh FAS. Mungkin ianya tidak seperti ini, tetapi pada pemerhatian kami, ianya seperti itu.

Puncanya adalah kerana presiden FAS dan Pengerusi Sarawak United merupakan orang yang sama. Ini menyebabkan mungkin sukar untuk melihat dan membezakan peranan kedua – dua entiti.

Malah, pemerhatian kami ini diperkuatkan lagi apabila Posa sendiri memohon sesiapa yang mahu mengambil alih tugasnya di FAS, berupaya menguruskan Sarawak United juga.

Pada hemah kami kenyataan Posa itu jelas menggambarkan Sarawak United dan FAS adalah satu pakej, walupun seharusnya ianya tidak dipakejkan sedemikian kerana kedua – dua entiti sepatutnya berbeza.

Ini adalah kerana kedua – duanya mempunyai peranan yang berasingan dalam kancah bola sepak Sarawak.

FAS bertanggungjawab membangunkan bola sepak dan pertandingan bola sepak di Sarawak, dan menjaga pasukan yang terdiri daripada pemain – pemain anak Sarawak yang dipilih daripada pelbagai kelab untuk mewakili Sarawak.

Contoh terbaik adalah seperti Johor FA atau England FA.

Sarawak United pula seharusnya merupakan salah satu pasukan yang bermain dalam pertandingain bola sepak yang dianjurkan oleh mana – mana pihak, baik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysia Football League (MFL) ataupun FAS, dengan pemain professional dari segenap dunia diambil untuk memantapkan lagi pasukan mereka.

Contohnya adalah pasukan JDT FC atau Manchester United.

Oleh itu, dengan masa depan Sarawak United kini dalam banyak persoalan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan, ianya dilihat sebagai satu peluang baik untuk kedua – dua entity, Sarawak United dan FAS, menetapkan secara lebih terperinci haluan masing – masing.

FAS sebagai sebuah persatuan bolasepak, yang juga merupakan ahli gabungan FAM dan seterusnya FIFA, perlu fokus kepada pembangunan sukan bola sepak di Sarawak tanpa liabiliti menjaga sebuah pasukan bola sepak.

Jika perlu, mereka haruslah hanya menjaga pasukan yang diwakili semua warga Sarawak, dan merupakan pasukan Sarawak dalam pertandingan antara negeri/wilayah di Malaysia, dan bukannya pasukan yang bertandingan di Liga Malaysia yang kini dianggotai pasukan – pasukan professional.

Sarawak United pula perlu lebih fokus kepada membina jenama mereka serta memperkemaskan pentadbiran mereka agar sumber kewangan dan juga masalah gaji tidak lagi timbul.

Secara peribadi, kami merasakan penjenamaan semula Sarawak United kepada satu kelab yang mewakili sebuah bahagian di Sarawak (seperti Samarahan, Miri, atau Bintulu) adalah juga satu langkah yang baik dan bijak kerana ianya akan menambah bilangan pasukan profeisonal peringkat bahagian di Sarawak.

Walau apapun, kegagalan Sarawak United kekal di Liga Malaysia dilihat sebagai satu peluang baharu nntuk FAS dan Sarawak United untuk memantapkan lagi peranan masing – masing dalam membangunkan bola sepak di Sarawak dan Malaysia, dan inilah yang kami harapkan.