‘Pakar’ gilap bakat muda bola sepak ke Sarawak United?

Dengan khabar status E Elavarasan sebagai ketua jurulatih Sarawak United kini dikhabarkan goyah, seorang lagi jurulatih telah dikaitkan dengan kerusi panas yang di dalam pasukan tersebut.

Jurulatih tersebut adalah mantan jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.

Jurulatih berpengalaman itu telah lama bersama UKM FC, dan beliau dikatakan merupakan ‘pakar’ dalam membina pasukan muda menjadi pasukan gergasi.

Buktinya adalah apabila beliau berjaya membawa pasukan UKM dari sebuah pasukan kecil dengan peruntukan kecil, menjadi sebuah pasukan Liga Premier pada tahun 2017. Ini telah beliau lakukan dengan membawa UKM menjadi naib juara Liga FAM pada tahun 2017, dan naib juara Challenge Cup pada tahun 2018 dan 2019.

Kini dalam proses mendapatkan Lesen Pro A AFC, Sulaiman gembira untuk mengetengahkan pemain-pemain yang berbakat besar dari kalangan pelajar dan membina identiti sendiri sebagai jurulatih yang mencipta kejayaan dengan bersandarkan kepada kudrat pemain muda yang tiada nama serta tidak merungut apabila disediakan bajet terhad.

“Jika saya diberi peluang untuk ke Sarawak United, saya akan berusaha membawa pasukan Sarawak United kembali ke menjadi pencabar utama dan berusaha kembali ke liga Super dalam jika semua perancangan berjalan lancar. Saya suka akan cabaran membawa pasukan yang fokus kepada pemain muda yang mahu digilap menjadi pemain bintang, dan saya rasakan Sarawak United adalah pasukan seperti itu.” kata Sulaiman kepada SarawakCrocs.

“Saya tahu bahawa potensi pemain kelahiran Sarawak amat besar, dan saya sendiri pernah menyaksikannya.” katanya lagi.

Sulaiman juga menyatakan bahawa beliau tidak memerlukan peruntukan yang besar kerana akan lebih fokus kepada menggilap pemain – pemain muda yg berpotensi dari Sarawak digabung dengan pemain yg sedia ada .

“Saya tidak memerlukan peruntukan yang besar untuk membina pasukan kerana saya akan lebih fokus kepada membawa pemain muda dan menggilap mereka menjadi pemain lebih berkualiti”.

Turut teruja dengan prospek kemungkinan Sulaiman ke Sarawak United adalah Hakimi Man.

Hakimi menyatakan bahawa beliau amat kenal dengan cara kerja dan teknik latihan Sulaiman, dan tahu bahawa Sulaiman menitik beratkan pemain muda.

“Coach Sulaiman memiliki kepakaran dalam membangunkan pemain muda, menjenamakan pemain biasa menjadi luar biasa dan itulah yang amat diperlukan dalam kita membentuk pasukan yang memiliki budget yang kecil tetapi kita membelanjakan setiap sen itu dengan berhemah. Saya senada dengan beliau dalam fokus untuk membangunkan pemain muda berbakat.” kata Hakimi kepada SarawakCrocs.

“Bukan itu sahaja, Sulaiman ini suka akan cabaran, dan mengubah pasukan kecil menjadi gergasi, seperti yang beliau lakukan kepada UKM, adalah satu petanda tentang bakat belia” ujarnya lagi.

Apapun, Sulaiman sememangnya bukan nama kecil di Semenanjung Malaysia, dan jika beliau akhirnya mengemudi pasukan Sarawak United, ianya pasti akan membawa perubahan besar kepada pasukan tersebut.

Oleh itu, dirasakan pemilihan Sulaiman, jika benar dan dilakukan, sudah semestinya akan membantu Sarawak United secara langsung menjimatkan belanja dan sekaligus menyaksikan pasukan bergelar kelab profesional itu menghasilkan anak jati Sarawak yang disegani dalam arena bola sepak.

Sungguhpun demikian, samada Sulaiman akan dipilih Sarawak United sebagai ketua jurulatih kelak adalah satu persoalan yang hanya Sarawak United dapat menjawab.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top