Heboh kini di laman media sosial menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal diterajui oleh ahli politik.
Berita tersebut, walaupun belum dapat disahkan, mendapat reaksi negatif daripada peminat bolasepak Sarawak yang rata-rata mahukan presiden FAS dipilih daripada kalangan ‘rakyat biasa’ yang bukan ahli politik.
Sungguhpun demikian, wujud juga spekulasi di kalangan beberapa persatuan bolasepak bahagian yang dikatakan sudah hampir pasti akan mencalonkan, dan sekaligus menyokong pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan, Haidel Heli sebagai bakal presiden baharu FAS.
Seorang peminat bolasepak yang enggan namanya disiarkan menyatakan bahawa Haidel telah lama terlibat di dalam FAS, dan beliau merasakan sudah tiba masanya beliau diberi peluang untuk menerajui badan induk bolasepak Sarawak.
Jawatan Presiden FAS kini giat diperkatakan oleh peminat bolasepak Sarawak berikutan siaran media FAS baru-baru ini yang mengumumkan bahawa jawatan tertinggi, termasuk jawatan Presiden FAS dan Timbalan Presiden FAS, bakal ditentukan pada Mesyuarat Agung FAS pada 17 September ini.