Menteri Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan kekecewaan beliau berkenaan tindakan Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Nomba dan penyelamat, Datuk Zamri Che Don, yang mendedahkan Stadium Negeri adalah antara stadium yang tidak memiliki sijil keselamatan Bomba (CF).
Karim dilaporkan TV Sarawak sebagai berkata bahawa pihak Bomba sepatutnya memaklumkan kepada pihak berwajib sekiranya Stadium Negeri tidak mempunyai CF agar tindakan selanjutnya boleh diambil.
Beliau berkata tindakan mendedahkan ketiadaan CF itu kepada media adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
Karim berkata “Apa gunanya membina sebuah stadium jika ianya tidak memenuhi keperluan keselamatan?
“Ianya adalah satu komen yang tidak bertanggungjawab kerana mereka sepatutnya memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab kerana stadium merupakan lokasi pelbagai acara dibuat
“Kalau dikeluarkan komen-komen sebegitu tanpa merujuk kepada badan dan kementerian berkaitan, ianya adalah satu komen tidak bertanggungjawab.”
Stadium Negeri yang sebelum ini menjadi gelanggang utama pasukan Sarawak FA dan Kuching FA telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 13 stadium yag tidak memiliki CF oleh Bomba.