Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA) telah membatalkan semua pertandingan dan program bola sepak anjuran persatuan tersebut pada tahun ini.

Menurut Setiausaha Kehormat KDFA, Iswandy Ali Hassan, keputusan tersebut adalah muktamad dan adalah sebagai langkah keselamatan berkaitan penularan pandemik Covid-19.

KDFA biasanya menganjurkan tiga pertandingan bola sepak saban tahun yakni Liga Kuching, Piala Abang Johari dan Liga Belia Bawah-19 Tahun.

“Keadaan di sekitar kita terlalu bahaya ketika ini akibat pandemik Covid-19 yang menimbukan kebimbangan semua pihak.

“Oleh itu, kita terpaksa mengambil langkah drastik dengan membatalkan semua kejohanan sepanjang musim.

“Ia adalah untuk mengelakkan pertembungan masa yang dijangka agak terhad dan masalah penularan Covid-19 yang belum reda.

“Tindakan membatalkan semua program adalah tepat untuk memutuskan rantaian penularan wabak tersebu.” kata Iswandy kepada Suara Sarawak.

Keputusan KDFA itu menjadikan persatuan itu persatuan bola sepak pertama di Sarawak yang mengambil keputusan tegas untuk membatalkan semua pertandingan anjurannya pada tahun ini bagi membendung penularan Covid-19.