Harian Metro hari ini mendedahkan bahawa Stadium Negeri, yang mana menjadi gelanggang utama pasukan Sarawak FA dan Kuching FA suatu ketika dahulu tidak memiliki sijil keselamatan yang diperlukan.
Berdasarkan laporan akhbar tersebut, stadium tersebut adalah antara 13 stadium yang dikenal pasti tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF).
Laporan sama menyebut bahawa stadium yang tiada CCC adalah Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor; Stadium Tunku Abdul Rahman, Negeri Sembilan; Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan, Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis; Stadium Bandaraya, Pulau Pinang; Stadium Likas, Sabah; Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din, dipetik akhbar tersebut sebagai berkata, ketiadaan sijil terbabit mungkin disebabkan binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun.
Zamri juga dilaporkan berkata “Setakat ini, memang tiada permohonan dibuat daripada pihak bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit untuk JBPM melakukan pemeriksaan seterusnya mengeluarkan borang G9 iaitu mengesahkan sudah mengikut segala perkara yang ditetapkan kami.
Untuk rekod, pasukan Kuching dan Sarawak kini bermain di Stadium Sarawak yang lebih moden, dengan kedua-dua Stadium Sarawak dan Stadium Negeri diuruskan Perbadanan Sukan Sarawak.
Perubahan gelanggang permainan ini dibuat ekoran naik taraf Stadium Negeri yang sedang dijalankan.
Laporan akhbar Harian Metro itu juga menyebut bahawa hanya lapan stadium utama mempunyai CCC di Malaysia.
Stadium tersebut adalah Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor; Stadium Hang Jebat, Melaka; Stadium Tun Abdul Razak, Jengka; Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.